LIVERPOOL – Pasukan Liverpool menerima tamparan hebat menjelang aksi bertemu Brighton awal pagi esok selepas tonggak pertahanan utama, Joel Matip disahkan mengalami kecederaan serius dan bakal diketepikan sehingga tamat musim ini.
Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp berkata, Matip yang mengalami kecederaan ketika membantu pasukan menewaskan Tottenham Hotspur minggu lalu akan menyertai Virgil Van Dijk yang terlebih dahulu berehat panjang ekoran kecederaan anterior cruciate ligament (ACL).
“Saya telah dimaklumkan bahawa Matip mengalami kecederaan serius di bahagian kaki dan terpaksa diketepikan sehingga penghujung musim ini. Dia tidak bernasib baik dengan kecederaan yang dialami dan saya harap dia dapat bersedia untuk mengharungi saingan musim depan,” katanya.
Kecederaan Matip telah menyebabkan skuad The Reds mencari pelan alternatif dengan menandatangani dua pertahanan baharu iaitu Ozan Kabak daripada pasukan Schalke dengan status pinjaman selain Ben Davies secara tetap dengan nilai sebanyak £1.6 juta (RM8.8 juta) awal pagi semalam.
Mengulas lanjut, Klopp mengakui sangat teruja dengan kehadiran kedua-dua pemain itu yang dipercayai boleh menyelesaikan krisis di posisi pertahanan pasukan dalam usaha mengekalkan kejuaraan EPL musim ini.
“David Wagner (Jurulatih Schalke) yang juga sahabat saya telah memberitahu betapa Kabak memiliki kualiti yang cukup bagus di posisi pertahanan. Meskipun usianya baru 20 tahun, dia dianggap memiliki ciri-ciri kepimpinan yang tinggi.
“Sementara itu, bagi Davies saya percaya dia sudah lama menantikan peluang untuk mewakili kelab besar dan ini adalah detik terbaik untuk membuktikan keupayaannya bersaing di peringkat tertinggi,” katanya. – AGENSI