NEWCASTLE – Newcastle United kembali mendapat tonik selepas pengendalinya, Eddie Howe dijangka kembali berada di garisan teknikal pasukan itu menjelang aksi menentang Ipswich Town di St. James Park malam ini.
Howe sebelum ini terlepas perlawanan menentang Manchester United dan Crystal Palace serta Aston Villa ketika mereka tewas 1-4 minggu lalu ekoran berdepan masa kesihatan dan terpaksa dimasukkan ke hospital.
Dua pembantu Howe, Jason Tindall dan Graeme Jones dianggap berjaya menjalankan tugas dengan baik apabila berjaya meraih dua kemenangan daripada tiga perlawanan berkenaan.
“Newcastle United teruja untuk mengesahkan bahawa Eddie Howe akan kembali menjalankan tugasnya sebagai pengendali pasukan bermula dengan sesi latihan dan pada perlawanan akan datang.
“Eddie sebelum ini dimasukan ke hospital kerana berdepan masalah pneumonia dan kini kembali mengambil peranan sebagai pengurus selepas proses pemulihan berjalan dengan baik. Kami berterima kasih atas semua ucapan dan kata-kata semangat diberikan,” menurut kenyataan dikeluarkan oleh pihak pengurusan kelab.
Newcastle ketika ini masih berjuang untuk memastikan mereka berjaya layak ke Liga Juara-Juara apabila menduduki tangga kelima saingan Liga Perdana Inggeris ketika ini dan hanya memiliki kelebihan dua mata berbanding Chelsea di tangga keenam.
Sementara itu, Ipswich terdesak untuk meraih keputusan positif pada perlawanan kali ini kerana kekalahan akan menyaksikan mereka sah menjadi pasukan ketiga yang tersingkir ke Liga Kejuaraan musim depan. – AGENSI