KAJANG – Seorang wartawan terpaksa berputih mata selepas wang tunai berjumlah RM3,600 di dalam akaun sebuah bank miliknya lesap ketika membuat semakan baki wang melalui portal palsu sebuah bank, Sabtu lalu.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3.38 petang itu, mangsa yang tidak menyedari perkara itu dikatakan menggunakan portal yang sengaja diwujudkan scammer untuk mencuri wang milik mangsa.
Menurut mangsa, Muhammad Azizul Osman, 38, kejadian berlaku ketika dia ingin membuat semakan baki wang tunai di dalam akaun miliknya menggunakan komputer riba.
“Tanpa disedari saya telah memasuki portal itu dengan menggunakan kata kunci bank yang asal, kurang seminit mereka meminta saya memasukkan nombor Kod Pengesahan Transaksi ( TAC). Pada awalnya saya tidak mengesyaki apa-apa.
“Tidak lama kemudian, saya tersedar selepas mendapati laman web yang dimasuki itu bukan laman web yang biasa digunakan,” ujarnya ketika dihubungi Kosmo hari ini.
Jelasnya, tanpa membuang masa dia terus membuka portal asal bank tersebut menggunakan telefon bimbit untuk membuat semakan baki.
“Alangkah terkejut saya mendapati sejumlah wang RM3,600 telah lesap dan baki yang tinggal hanya RM300. Sejumlah wang tersebut telah dipindahkan melalui sebuah portal jualan.
“Justeru itu, saya segera menghubungi pihak bank terbabit untuk membuat sekatan akaun dan mereka berjanji akan membuat siasatan.
“Jauh di sudut hati saya amat sedih sebaik pihak bank memaklumkan mereka gagal untuk mendapatkan semula wang milik saya itu. Pun begitu, saya reda,” ujarnya.
Katanya lagi, laporan polis telah dibuat di Balai Bandar Baru Bangi sejurus kejadian. -K! ONLINE














