Fenomena ‘coverina’ merujuk kepada situasi di mana seorang lelaki yang mempunyai orientasi seksual sesama jantina memilih untuk berkahwin dengan wanita bagi memenuhi tuntutan norma sosial.
Dalam konteks perundangan Malaysia, fenomena ini menimbulkan pelbagai persoalan dari sudut hak asasi, undang-undang keluarga serta undang-undang syariah dan sivil.

Hubungan sejenis adalah dilarang di bawah undang-undang di Malaysia, khususnya di bawah Kanun Keseksaan dan Enakmen Jenayah Syariah negeri. Justeru, perkahwinan yang dijalankan oleh golongan coverina ini sering dijadikan jalan untuk mengelak daripada konflik dengan undang-undang dan stigma sosial.
Dalam erti kata lain, isu coverina membuka ruang perbincangan yang penting berkaitan ketegangan antara identiti peribadi yang menyalahi fitrah dan undang-undang yang terpakai di Malaysia yang berteraskan nilai agama dan budaya.
Isu perkahwinan yang dibina atas asas penipuan identiti turut mencetuskan implikasi dari sudut undang-undang keluarga. Kes-kes di Mahkamah Syariah melibatkan tuntutan cerai dan tuntutan nafkah yang melibatkan secara batin sering berpunca daripada pendedahan orientasi seksual pasangan selepas berkahwin.
Ini menimbulkan persoalan tentang hak isteri, serta kesan terhadap anak-anak yang terlibat dalam perkahwinan tersebut. Baru-baru ini telah tular satu drama bertajuk Seribu Tahun yang sangat berkait rapat dengan permasalahan ini di mana perkahwinan yang dibina tersebut juga boleh diistilahkan sebagai Lavender Marriage.
Ia merujuk kepada perkahwinan antara seorang lelaki atau wanita yang mempunyai orientasi seksual songsang semata-mata untuk menyembunyikan identiti mereka daripada masyarakat.
Ia bukan perkahwinan yang dibina atas asas cinta, namun lebih kepada helah bagi berselindung daripada stigma atau tekanan keluarga dan agama.
Sembunyi identiti
Individu yang mempunyai kecenderungan homoseksual atau biseksual sering memilih untuk berkahwin dengan wanita sebagai satu cara untuk menutup identiti sebenar mereka.
Langkah ini bukan sahaja bertujuan untuk mengelakkan kecurigaan masyarakat tetapi juga merupakan usaha untuk melindungi diri daripada diskriminasi sosial yang meluas, penolakan daripada ahli keluarga, serta potensi tindakan undang-undang yang boleh dikenakan di sesetengah negara atau wilayah.
Dalam banyak kes, tekanan daripada norma budaya dan agama menjadikan mereka tidak mempunyai pilihan lain selain menjalani kehidupan yang didasarkan kepada kepura-puraan.
Dari segi syarak, perkahwinan ini adalah sah selagi memenuhi rukun dan syarat yang ditetapkan. Namun, perkahwinan yang hanya bertujuan menyembunyikan orientasi seksual sebenar membawa kesan yang mendalam.
Helah berselindung di sebalik identiti sebenar ini hanya semata mata meruntuhkan perkahwinan, menjejaskan kepercayaan dan keikhlasan, serta menyebabkan keretakan hubungan. Dari sudut pandang Undang-Undang Keluarga Islam, perkahwinan yang dibina oleh suami dan isteri tersebut adalah sah.
Namun, adakah pernikahan yang dibina itu akan diselimuti dengan kebahagiaan setelah kebenaran terbongkar?
Kebayakan isteri yang terjerat di dalam Lavender Marriage ini boleh memfailkan tuntutan penceraian di bawah peruntukkan Seksyen 47 atau tuntutan fasakh di bawah Seksyen 53 Enakmen Undang-Undang Keluarga atas alasan kegagalan suami memberi nafkah batin.
Nafkah batin merujuk kepada hubungan kelamin yang menjadi hak isteri dan tanggungjawab suami dalam perkahwinan. Jika suami cuai, enggan, atau tidak mampu menjalankan tanggungjawab ini tanpa sebab yang munasabah dalam tempoh panjang, ia boleh menjejaskan keharmonian rumah tangga dan memberi tekanan emosi kepada isteri.
Dalam keadaan ini, isteri berhak memohon pembubaran perkahwinan melalui tuntutan penceraian atau fasakh. Dari sudut psikologi, individu yang terlibat dalam perkahwinan seperti ini sering mengalami tekanan emosi kerana terpaksa berpura-pura menjadi seseorang yang bukan diri mereka.
Konflik dalaman yang timbul akibat hidup dalam penipuan menyebabkan mereka mudah mengalami masalah mental seperti kemurungan, keresahan, serta hilang keyakinan diri.
Meskipun golongan ini tersepit antara identiti sebenar mereka dan stigma masyarakat yang mencengkam, perlu ditegaskan bahawa kehendak nafsu songsang yang wujud dalam kalangan individu ini tetap merupakan sesuatu yang menyalahi kehendak agama serta bertentangan dengan norma budaya masyarakat.
Tidak kira betapa besar tekanan persekitaran atau betapa kuat dorongan dalaman, hakikatnya kecenderungan seksual yang menyimpang daripada fitrah asal ciptaan manusia tetap tidak dapat diterima dalam kerangka agama yang dianuti dan nilai tradisi yang telah diwarisi.
Haram
Dalam konteks Islam, sebagai contoh, hubungan sejenis diharamkan dan dianggap sebagai satu dosa besar yang membawa kemurkaan Allah SWT. Perbuatan ini bukan sahaja meruntuhkan institusi keluarga, malah turut mencabar perintah dan hukum Ilahi yang telah ditetapkan dalam Al-Quran dan As-Sunnah.
Kisah kaum Nabi Lut A.S wajar diambil pengajaran di mana mereka yang telah dihancurkan oleh Allah SWT kerana kecenderungan mereka kepada amalan homoseksual.
Allah SWT telah menurunkan azab yang dahsyat kepada mereka dengan membalikkan bumi dan menghujani mereka dengan batu dari langit kerana enggan bertaubat dan terus bergelumang dalam dosa. Justeru, walau apapun alasan yang diberikan sama ada faktor genetik, pengalaman lampau, atau tekanan persekitaran, tidak ada justifikasi yang mampu menghalalkan perbuatan tersebut.
Masyarakat pula, khususnya yang berpegang teguh kepada nilai agama dan budaya, tetap memandang serius perkara ini kerana ia dianggap mencemari kesucian adat dan tatasusila.
Budaya kita menjunjung tinggi institusi perkahwinan antara lelaki dan wanita, serta mengutamakan pembinaan keluarga yang sah, harmoni dan berlandaskan fitrah. Kehadiran gejala songsang ini dianggap sebagai satu ancaman kepada struktur sosial yang stabil dan berakhlak.
Meskipun mereka berusaha menyesuaikan diri dengan berpura-pura menjalani kehidupan normal melalui perkahwinan dengan wanita, ini tidak mengubah hakikat bahawa dorongan nafsu songsang yang disembunyikan itu tetap menyalahi prinsip moral, etika, dan agama.
Ia mencetuskan dilema moral yang mendalam, bukan sahaja kepada individu tersebut tetapi juga kepada pasangan dan anak-anak yang menjadi mangsa kepada kepura-puraan tersebut. Bahkan, dari segi sosial, kanak-kanak yang dibesarkan dalam keluarga seperti ini juga mungkin mengalami kekeliruan emosi atau krisis identiti apabila konflik rumah tangga berlaku secara terbuka.
Kesan jangka panjang terhadap perkembangan emosi anak-anak boleh berlaku apabila mereka menjadi saksi kepada ketegangan antara ibu bapa, terutamanya apabila punca sebenar konflik melibatkan isu identiti seksual yang tersembunyi.
Maka, adalah penting untuk membezakan antara empati terhadap kesukaran yang dihadapi individu sebegini dengan penerimaan terhadap perbuatan yang menyalahi syariat dan norma budaya.
Sebagai masyarakat yang berpegang kepada nilai agama dan moral, kita harus bersikap tegas dalam prinsip, namun bijak dalam pendekatan sama ada membimbing, menasihati dan memberi peluang kepada mereka untuk kembali kepada jalan yang diredai Allah.
Masyarakat memainkan peranan penting dalam membantu golongan yang terjebak dengan kecenderungan songsang agar kembali kepada fitrah sebenar manusia. Sebaliknya daripada menghukum atau meminggirkan, masyarakat perlu mendekati mereka dengan semangat kasih sayang, memberi nasihat yang bermanfaat serta sokongan moral yang membina.
Pendekatan yang berhikmah dan berlandaskan agama dapat membuka ruang untuk perubahan yang lebih baik dalam diri mereka. Melalui bimbingan rohani, kaunseling, dan pendidikan nilai, golongan ini dapat dibantu untuk meninggalkan kecenderungan yang bertentangan dengan syariat dan norma budaya.
Kesimpulannya, fenomena coverina dan Lavender Marriage menggambarkan perkahwinan yang dibina atas dasar kepura-puraan untuk menyembunyikan orientasi seksual sebenar demi memenuhi norma sosial.
Irsamuddin Ikhsan ialah Peguam Syarie dari Irsamuddin Fitri & Associates















