BERMULA Isnin lalu, semua sekolah di seluruh negara memulakan kempen memakai lencana Jalur Gemilang di baju setiap murid bagi menyemai semangat cinta negara dan patriotisme.
Syabas kepada Kementerian Pendidikan (KPM) atas usaha itu untuk sekurang-kurangnya membentuk jati diri murid untuk sayangkan Jalur Gemilang.
Sejak kebelakangan ini, banyak isu berlaku berkenaan Jalur Gemilang, sekali gus menunjukkan betapa rendahnya semangat patriotisme dalam kalangan rakyat kita.
Tertarik juga berkenaan satu hantaran yang tular beberapa hari lalu berkenaan seorang bapa yang memuat naik gambar dua anaknya yang bersekolah di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina berkenaan pemakaian tag bendera kebangsaan.
Baginya, tiada erti jika Jalur Gemilang hanya dipakai sahaja tanpa tahu menghormati ‘kebesaran serta simbol’ negara bangsa kita sendiri.
Jika hanya memakai dan tidak menghormati bendera kebangsaan itu, maka tidak guna walaupun satu sen jika kebodohan lampau diulang lagi di kemudian hari.
Dalam satu perbualan bersama lagenda hoki Malaysia, Datuk Mirnawan Nawawi baru-baru ini, beliau melahirkan rasa cukup bangga apabila menyarung jersi kuning kebangsaan dan menyanyikan lagu Negaraku dalam setiap kali perlawanan antarabangsa.
Katanya, memegang Jalur Gemilang yang ada di dada adalah satu kebanggaan yang sangat hebat dan perasaan gugup dan takut akan hilang sekelip mata.
Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim juga pernah bertitah, bendera adalah lambang kedaulatan serta identiti sesebuah negara.
“Bendera bukan sekadar kain bercorak yang berwarna-warni tetapi mewakili perjuangan, sejarah, erti kemerdekaan serta semangat rakyat jelata.
“Kita sebagai rakyat mengibarkan bendera dengan rasa megah dan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat berbilang bangsa,” titah Seri Paduka Baginda menerusi hantaran di Facebook minggu lalu.
Pensyarah Kanan Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Dr. Muzaffar Syah Mallow menegaskan, bendera adalah penting terutamanya untuk sesebuah negara.
Katanya, tanpa ada bendera, agak sukar untuk sesebuah negara itu wujud, dikenali, dihormati dan dipandang tinggi oleh negara luar.
“Setiap rakyat yang cintakan negara mereka akan sentiasa mengambil segala langkah yang perlu bagi melindungi bendera negara mereka. Adalah penting supaya bendera negara kita dilindungi daripada menjadi mangsa tindakan pihak yang tidak bertanggungjawab.
“Bendera negara juga harus bebas daripada menjadi mangsa kepada sebarang isu politik atau pun ketidakpuasan hati mana-mana pihak.
“Tindakan sesetengah pihak serta organisasi yang dilihat masih mengibarkan bendera rasmi negara kita iaitu Jalur Gemilang dalam keadaan lusuh, koyak serta terbalik ataupun diubah suai dengan sesuka hati tidak harus diterima oleh mana-mana pihak,” katanya.
Jelasnya, tindakan terbabit bukan sahaja tidak melambangkan semangat patriotisme, malah merupakan satu mesej negatif khusus kepada generasi muda serta kepada warga asing atau pelancong yang mengunjungi negara kita.
Jadi, bukan hanya memberi impak negatif kepada generasi muda, malah perbuatan ini akan hanya memberi masalah yang lebih besar lagi dalam sistem negara berbilang kaum yang sedang kita diami ini.
Berharap sangat agar kempen ini berjaya dalam motifnya dan bukan hanya ilusi Jalur Gemilang di dada, namun jiwanya hilang entah ke mana.














