JOHOR BAHRU – Gara-gara terlalu mempercayai seorang gadis bernama Bella yang baru dikenali di TikTok, seorang lelaki lunyai dibelasah sekumpulan individu hingga separuh mati di sebuah pangsapuri di Plentong di sini, pada Jumaat lalu.
Dalam kejadian pada pukul 9.30 malam itu, mangsa berusia 21 tahun yang bekerja sebagai operator kilang di Taman Puteri, Kluang, menerima tiga jahitan pada bibir kanan dan enam jahitan di telinga kiri.
Menerusi rakaman video temu bual bersama penyanyi rap, Caprice, mangsa dikenali sebagai Faris berkata, kejadian bermula apabila Bella mengajak untuk menemaninya tidur di rumah wanita itu di Plentong di sini.
Katanya, dia menerima ajakan itu melalui WhatsApp kira-kira pukul 5 petang pada Jumaat lalu selepas Bella mendakwa dirinya tidak sihat.
“Pada mulanya saya beri alasan tiada duit untuk isi minyak petrol, namun dia (Bella) cakap tak apa nanti dia beri duit.
“Apabila sampai di rumah itu (kira-kira pukul 9.30 malam), Bella turun ambil saya dekat bawah dan bawa naik. Apabila saya baru hendak buka kasut, tiba-tiba datang dua hingga tiga orang masuk melalui pintu depan rumah.
“Motifnya saya tidak tahu, selepas saya kena pukul beramai-ramai, mereka ‘pau’ (minta) saya duit RM3,000, saya tak ada duit masa itu, saya beri RM600, selebihnya mereka ambil motosikal (Yamaha Y16) saya,” katanya.
Salah seorang suspek dikatakan membawa senjata dipercayai sebilah parang dan seorang lagi memegang kayu.

Selepas mangsa hampir separuh mati, seorang suspek membawanya mendapatkan rawatan di sebuah klinik swasta berdekatan sebelum dihantar ke rumah rakan mangsa di Taman Mount Austin di sini.
Mangsa kemudian membuat laporan berhubung kejadian di Balai Polis Plentong, Seri Alam kira-kira pukul 11.14 malam pada Sabtu lalu.
Sementara itu, Caprice atau nama sebenarnya, Ariz Ramli menasihati mangsa supaya tidak lagi mudah percaya dengan kenalan yang baru dikenali di media sosial seperti TikTok.
“Kalau siapa-siapa cuba mengorat atau siapa-siapa ajak jumpa hati-hatilah, walaupun kita lelaki dapat makan ‘free’, saya ‘call’ supaya masyarakat tahu kau masih hidup dan inilah punca berlakunya,” katanya.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd. Sohaimi Ishak berkata, tujuh lelaki dan seorang wanita dikenali Bella berusia antara 19 hingga 26 tahun telah ditahan pada pukul 2.30 pagi kelmarin.
Katanya, kesemua suspek direman selama enam hari bermula 21 hingga 26 April bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 342, Seksyen 385 serta Seksyen 324 Kanun Keseksaan.
“Hasil semakan mendapati, lima daripada suspek memiliki rekod lampau berkaitan kes jenayah dan penyalahgunaan dadah.
“Ujian saringan air kencing juga mendapati empat daripada mereka positif dadah jenis methamphetamine,” katanya dalam satu kenyataan.
Katanya, hasil siasatan mendapati, mangsa ke rumah pangsapuri itu atas jemputan seorang wanita yang dikenali menerusi media sosial.
“Setelah sampai, mangsa telah dikurung dan dipukul serta dicederakan oleh sekumpulan lapan individu tempatan.
“Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan luka pada bibir, telinga kiri serta bengkak badan,” ujarnya.














