BLUE Origin merupakan roket yang dikembangkan oleh sebuah perusahaan antariksa (angkasa) swasta. Ia dibangunkan oleh jutawan terkenal, Jeff Bezos menerusi program New Shepard.
Perusahaan itu memberi fokus kepada pengembangan teknologi penerbangan luar angkasa dengan tujuan jangka panjang, sekali gus membuka akses ke galaksi.
Seiring dengan usaha untuk meneroka dunia angkasa lepas, Blue Origin berjaya menyelesaikan penerbangan ke angkasa lepas dengan menghantar enam kru, di mana semuanya wanita baru-baru ini.
Penerbangan suborbital itu berlepas pada pukul 8.30 pagi waktu tempatan dari Tapak Pelancaran Satu di Texas Barat, Amerika Syarikat (AS) menggunakan roket New Shepard Blue Origin.
Kapsul yang berfungsi sepenuhnya secara automatik itu mencapai ketinggian puncak 106 kilometer dengan melintasi garisan Karman (istilah garis khayalan yang digunakan secara meluas sebagai batas antara atmosfera Bumi dan ruang angkasa) di atas paras tanah.
Selepas berada di angkasa selama 10 minit, kapsul itu kemudian mendarat di Bumi kira-kira pukul 8.40 pagi waktu tempatan.
Biarpun tempoh di angkasa hanya berlangsung dalam masa singkat, namun usaha tersebut tetap mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa, selain berjaya kembali Bumi menerusi pendaratan selamat.
Penerbangan tersebut merupakan misi kedua Blue Origin menerbangkan kru wanita ke angkasa selepas perjalanan solo oleh Valentina Tereshkova pada 1963.
Kru angkasawan yang menyertai misi itu diberi nama kod, NS-31. Mereka terdiri daripada Aisha Bowe, Amanda Nguyen, Gayle King, Katy Perry, Kerianne Flynn dan Lauren Sanchez.
Menerusi video yang dikongsikan, semua kru berada dalam kapsul ketika graviti kosong dan tubuh badan terapung.
Mereka kelihatan teruja terutama apabila berpeluang melihat keadaan Bumi dari angkasa lepas.
Menurut jurucakap misi itu, pihak Blue Origin meluahkan rasa bangga apabila usaha menerbangkan enam individu berpengaruh di AS berjaya.
“Saya sangat bersyukur dan terharu apabila melihat roket tersebut berlepas serta kembali dengan selamat.
“Biarpun dalam tempoh masa singkat, tetapi misi ini tetap mencatat sejarah tersendiri dan tentu sahaja menjadi pengembaraan yang tidak dapat dilupakan oleh semua kru,” katanya.
Menurut King yang juga seorang hos popular, perjalanan ke angkasa lepas itu mampu membantunya mengatasi rasa ketakutan.
“Ini satu perkara luar biasa yang tidak mungkin difikirkan apabila mampu melihat sendiri keadaan Bumi dari angkasa.

ke galaksi.
“Ini bukan sekadar misi biasa ke angkasa, tetapi ia membantu mengatasi ketakutan dan mengembangkan ekspresi diri sepenuhnya,” ujarnya.
King mengabadikan pemandangan yang dilihat apabila roket mencapai kelajuan pendakian maksimum 2,300 kilometer per jam.
Sewaktu pendaratan berlangsung, tenaga kerja Blue Origin yang bersedia di lapangan bersorak kegembiraan dan teruja dengan kejayaan tersebut.
Perry yang juga penyanyi terkenal dengan lagu, Teenage Dream mengakui teruja dengan penerbangan disifatkan paling tinggi pernah dialaminya.
“Pengembaraan ini seperti satu penyerahan kepada perkara tidak diketahui. Paling utama adalah kepercayaan kepada keseluruhan perjalanan ini.
“Saya sangat bersyukur kerana pencarian kepada sifat manusiawi untuk mencari diri sendiri itu berlaku.
“Saya benar-benar berasa menjadi wanita ‘sempurna’,” katanya.
Dalam pada itu, Perry menegaskan tentang kepentingan pengetahuan digital dan teknologi sains terutama melibatkan dunia angkasa tanpa batasan.
Malah, penyanyi berusia 40 tahun itu turut menceritakan persiapan mental yang dilakukannya sebelum menyertai misi tersebut.
“Saya mendengar buku audio Cosmos oleh Carl Sagan dan membaca buku tentang teori rentetan sebagai persediaan untuk perjalanan itu.
“Saya sentiasa berminat dalam astrofizik dan suka dengan astronomi termasuk astrologi serta bintang-bintang.
“Bagi saya, kita semua ‘diperbuat’ daripada habuk bintang dan kita semua berasal daripada bintang-bintang,” ujarnya.
Misi tersebut merupakan penerbangan angkasa manusia ke-11 bagi Blue Origin dan penerbangan ke-31 dalam program New Shepard.
Beberapa pengkritik bagaimanapun mempersoal mengenai perjalanan kesemua wanita itu ke angkasa yang dikatakan sebagai salah satu bentuk promosi perniagaan pelancongan angkasa oleh Bezos.














