
PENOLONG PENGARANG BERITA
DALAM sejarah penganjuran Sukan Olimpik moden yang bermula pada 1896 di Athen, Greece, temasya yang berlangsung setiap empat tahun itu tidak pernah gagal dianjurkan.
Kecuali, pada tahun 1916 ia dibatalkan kerana berlakunya Perang Dunia Pertama dan 1940 serta 1944 untuk Olimpik musim panas dan sejuk juga tidak dapat dianjurkan kerana meletusnya Perang Dunia Kedua.
Selain daripada itu, temasya terbesar dan paling berprestij di dunia itu berjalan dengan baik biarpun ada ketikanya ia berdepan isu pemboikotan dan masalah politik dunia.
Namun, 2020 mencatat sejarah kerana Sukan Olimpik Tokyo yang sepatutnya bermula 24 Julai hingga 9 Ogos tahun lalu terpaksa ditunda ke 23 Julai hingga 8 Ogos tahun ini kerana dunia sedang ‘berperang’ menentang musuh yang tidak kelihatan, virus Covid-19.
Kali pertama Jepun menganjurkan temasya berkenaan adalah pada 1964 dan selepas 56 tahun, Tokyo kembali dipilih sebagai tuan rumah.
Mereka sudah membelanjakan wang sebanyak AS$12.6 bilion (RM50.94 bilion) untuk memastikan ia menjadi salah satu penganjuran paling hebat dalam sejarah.
Bagaimanapun, satu kajian daripada Universiti Oxford menyebut, penangguhan temasya tersebut menyebabkan Jepun terpaksa menambah peruntukan berkenaan dan kini sudah mencecah sebanyak AS$15.84 bilion (RM64.03 bilion).
Ia adalah lebih mahal berbanding penganjuran Olimpik London 2012 yang menelan belanja AS$15 bilion (RM60.64 bilion) sekali gus menjadikannya penganjuran Sukan Olimpik musim panas yang menelan belanja paling besar.
Upacara penutup temasya Sukan Olimpik Rio 2016 di Stadium Maracana menyaksikan Perdana Menteri Jepun ketika itu, Shinzo Abe muncul di tengah pentas mengenakan kostum Super Mario sebagai gimik untuk menerima tanggungjawab sebagai tuan rumah temasya berikutnya.
Tokyo memberikan seribu harapan bahawa penganjuran Sukan Olimpik akan kembali berada pada tahap yang sepatutnya selepas beberapa isu berbangkit timbul di Rio.
Tidak ada jangkaan yang lebih rendah diletakkan kepada Jepun melainkan mereka pastinya akan memberikan suatu pengalaman yang tidak mampu untuk dilupakan dalam sejarah penganjuran sukan itu.
Namun, segalanya yang dirancang tidak berjalan dengan baik, walaupun Perdana Menteri Jepun ketika ini, Yoshihide Suga berjanji untuk meneruskan penganjurannya tetapi cadangannya itu ditentang hebat.
Laporan daripada agensi berita di Jepun, Kyodo News menyebut hampir 80 peratus rakyat Jepun tidak bersetuju dengan cadangan berkenaan di mana 35.2 peratus mahu ia dibatalkan terus, manakala 44.8 peratus lagi meminta ia dijadualkan semula.
Dalam pada itu, Presiden Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC), Thomas Bach mendedahkan bahawa penganjurannya akan tetap dilangsungkan dan pihaknya sedang bekerja keras untuk mencari satu mekanisme terbaik untuk memastikan ia berlangsung dalam keadaan selamat dan sempurna.














