PETALING JAYA – Harga emas melonjak ke paras tertinggi dalam sejarah mencecah RM550 segram bagi bar emas dan RM500 bagi barang kemas semalam.
Presiden Persatuan Perniagaan Emas Dan Permata Malaysia (FGJAM), Datuk Chiah Hock Yew berkata, lonjakan tertinggi itu dikaitkan dengan ketidaktentuan tarif import Amerika Syarikat (AS) yang mencetuskan kebimbangkan pelabur di seluruh dunia.
Ujar beliau, ia menyebabkan para pelabur beralih daripada pasaran saham kepada emas, sekali gus menyaksikan permintaan tinggi terhadap logam berharga itu.
Hock Yew meramalkan harga emas akan terus mengalami peningkatan dan boleh mencecah lebih RM600 segram berdasarkan keadaan ekonomi semasa.
“Ya benar harga emas ini yang tertinggi dalam sejarah mencecah RM550 segram bagi bar emas. Bagaimanapun, ada kedai mungkin jual pada harga RM540, RM520, RM520 segram. Harga barang kemas sekitar RM500 segram.
“Harga emas sebenarnya telah pun naik mendadak sejak tiga tahun lalu dan telah mencecah ke tahap tertinggi dalam sejarah ketika ini disebabkan faktor tarif AS,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.
Kelmarin, harga emas dilaporkan telah pun melonjak melebihi RM467.84 segram buat kali pertama dalam sejarah apabila pelabur beralih kepada aset selamat berikutan tarif baharu AS.
Ketua Strategi Komoditi Saxo Bank, Ole Hansen dipetik berkata, tindakan terbaharu AS terhadap mineral, cip dan ubat-ubatan mencetuskan gelombang pelaburan ke arah aset selamat, manakala pasaran saham terus menerima tekanan.
Menurut Hansen, unjuran harga emas yang dikemas kini oleh beberapa institusi utama turut meningkatkan keyakinan pelabur untuk terus membeli logam berharga itu.
Media antarabangsa Xinhua pula melaporkan, harga emas di China melonjak ke paras tertinggi dalam sejarah susulan kenaikan berterusan harga emas antarabangsa.
Beberapa jenama emas utama di China mencatatkan harga barang kemas melebihi 1,000 yuan (kira-kira AS$138.63) segram yang merupakan paras tertinggi pernah direkodkan.
Hock Yew berkata, kenaikan harga emas membuktikan emas merupakan pelaburan yang paling selamat dalam berhadapan ketidaktentuan ekonomi global.
Beliau menjangkakan, bagi kebanyakan pelabur emas jangka masa pendek akan menjual emas mereka untuk mendapatkan keuntungan disebabkan kenaikan harga yang tinggi ketika ini.
“Mungkin dulu mereka beli sekitar RM250 atau RM350 segram, sekarang boleh jual semula RM500 atau RM550 segram. Bagi pelabur jangka masa panjang saya rasa mereka akan tunggu lagi.
“Nasihat saya kepada pelabur emas jangan jual habis semua, simpan juga untuk pelaburan jangka masa panjang,” katanya.














