KUALA LUMPUR – Selepas episod cinta bersama jejaka bergelar doktor berakhir dua tahun lalu, pelakon Sophia Albarakbah mengakui sedang membuka lembaran baharu bersama insan istimewa yang kini mula mengetuk pintu hatinya.
Bukan anak seni mahupun lelaki kenamaan, Sophia atau nama sebenarnya Sharifah Sophia Syed Abd. Rahman, 32, berkata jejaka itu merupakan kenalan lama sejak tahun 2011 dan kini dalam fasa lebih mengenali antara satu sama lain.
“Kalau cakap mengenai mahu berkahwin, saya memang sudah bersedia. Umur pun makin meningkat, jadi mestilah terfikir ke arah itu.
“Calon tu dah ada, tapi kami baru dalam fasa kenal hati budi. Enggan terburu-buru, perlahan-lahan dulu.
“Dia bukan VIP mahupun orang industri tapi yang penting dia orang yang keluarga saya sayang dan sudah kenal lama,” katanya kepada Kosmo! Online.
Lebih manis, pelakon From Saga With Love itu memberitahu lelaki tersebut mendapat restu keluarganya malah sudah menyambut Aidilfitri bersama di kediaman anak beranaknya tahun ini.
“Buat masa sekarang biarlah identiti dia tu dirahsiakan, paling penting adalah keluarga saya merestui dia. Kami pun dah beraya bersama.
“Saya tak pilih sendiri pun. Cuma bila keluarga dah kenal lama, mereka pun restu,” ujarnya pada majlis Makan-Makan Raya Aisha Retno di The Roomah Restaurant Publika, semalam.
Pun begitu, Aktres Filem Popular Anugerah Bintang Popular ke-35 (ABP35) itu tidak mahu meletakkan harapan tinggi kerana enggan kecewa buat kali kedua.
“Sekarang saya fokus kerja. Memang nak kahwin, tapi tak rushing. Keluarga pun faham dan mereka tidak ‘menekan’ dan menyerahkan soal itu semua kepada saya sendiri.
“Kalau jadi, jadilah. Kalau tak, saya reda. Kami berkawan lama, hampir 14 tahun. Dia pun macam kawan baik saya sekarang,” luahnya.
Terdahulu, Sophia pernah menjalin hubungan cinta selama dua tahun dengan seorang lelaki bergelar doktor sebelum putus sekitar September 2023.
Dia mengakui episod perpisahan itu perit untuk ditelan, namun percaya setiap yang berlaku hadir bersama hikmah. – KOSMO! ONLINE.