PUTRAJAYA- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan inisiatif global yang diketengahkan oleh China sebagai sinar harapan baharu kepada dunia yang kini berdepan tekanan terhadap sistem multilateral dan kerjasama antarabangsa.
Berucap sempena lawatan rasmi Presiden China, Xi Jinping ke Malaysia, beliau berkata, pendekatan China yang bersifat inklusif dan berorientasikan dialog menawarkan satu alternatif yang rasional dan segar dalam landskap dunia yang semakin dibelenggu konflik .
“Inisiatif seperti Jalur dan Laluan (BRI), Pembangunan Global dan Keselamatan Global bukan sekadar slogan, tetapi mencerminkan pandangan dunia yang lebih luas bahawa kemajuan hanya boleh dicapai menerusi kerjasama, bukan persengketaan,” katanya.
Perdana Menteri menegaskan, pada saat dunia menyaksikan negara-negara kuasa besar semakin menjauh daripada prinsip tanggungjawab bersama, pendekatan China yang konsisten dan terbuka menawarkan model baharu kepada pembangunan sejagat.
“Inisiatif-inisiatif ini memandang ke luar, bukan ke dalam. Ia tidak berbicara tentang persaingan, tetapi tentang pembaharuan,” katanya.
Beliau turut memberi amaran tentang kemerosotan sistem berasaskan peraturan antarabangsa, di mana rundingan diganti dengan tekanan, tarif dikenakan secara sewenang-wenangnya dan kerjasama antarabangsa semakin tenggelam dalam retorik ugutan serta paksaan.
“Apa yang kita saksikan hari ini bukanlah muhasabah jujur terhadap globalisasi, tetapi satu bentuk tribalisme ekonomi baharu.
“Akses pasaran digunakan sebagai senjata, dan komitmen pelbagai hala semakin diketepikan oleh tindakan unilateral,” katanya.
Anwar menegaskan bahawa perdagangan bukanlah permainan sifar yang menentukan pemenang dan yang kalah, sebaliknya merupakan usaha bersama demi kemajuan semua pihak.
“Apabila kuasa besar membengkokkan atau melanggar peraturan, bukan sahaja kemakmuran yang terjejas, malah asas kepada keamanan global turut tergugat,” katanya. – KOSMO! ONLINE