Dominasi! 7 universiti Malaysia dalam top 10 ASEAN

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KETIKA ini, di Malaysia terdapat 20 buah universiti pengajian tinggi awam (IPTA) dan hampir 390 institusi pengajian tinggi swasta (IPTS).

Berdasarkan kedudukan Quacquarelli Symonds (QS) World University Rankings 2025, universiti-universiti dari Malaysia berada pada kedudukan yang baik bahkan banyak yang dikategorikan terbaik di rantau Asia Tenggara.

Dominasi oleh universiti-universiti ini menunjukkan Malaysia sememangnya merupakan destinasi terpelajar dan memandang tinggi bidang keilmuan.

Di sini, K-Kampus menyenaraikan tujuh universiti Malaysia terbabit dan merungkai antara faktor keunggulan mereka sehingga menduduki ranking yang tinggi.

1- Universiti Malaya (UM)
(kedudukan ke-3)

Berdasarkan QS World University Rankings 2025, UM berada pada kedudukan ketiga universiti terbaik di Asia Tenggara.
UM ditubuhkan secara rasminya pada tahun 1962 dan menjadi universiti pertama di Malaysia. UM telah memainkan peranan besar dalam melahirkan ramai tokoh penting negara antaranya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Jurusan popular yang menjadi pilihan pelajar di UM antaranya perubatan, pergigian, undang-undang dan kejuruteraan mekanikal.

Menurut satu kenyataan mengulas mengenai kejayaan terkini universiti tersebut, Naib Canselor UM, Prof. Datuk Seri Dr. Noor Azuan Abu Osman berkata, UM memberi fokus yang kukuh dan teguh dalam meningkatkan standard global tertinggi bagi kecemerlangan akademik dan penyelidikannya.

“Pengiktirafan dan kejayaan terbaharu UM dalam pemeringkatan global mencerminkan usaha konsisten kami dalam mencapai piawaian serta kualiti tertinggi dalam penyelidikan serta pengajaran dan pembelajaran,” katanya.
Sebanyak 41 subjek di UM diiktiraf QS Subjects Ranking iaitu pertambahan lima subjek dari 2021. Dua puluh subjeknya berada dalam Subjek 100 Terbaik Dunia.

“Pencapaian terkini termasuk penampilan baharu program Pergigian dan Pemasaran serta kejayaan berterusan subjek lain, mengukuhkan misi kami untuk menerajui negara dan dunia dalam meneroka lembaran ilmu serta kepakaran baharu,” katanya.

Berdasarkan subjek, Sains Sosial & Pengurusan, UM berada di kedudukan ke-71 dunia, diikuti oleh Kejuruteraan & Teknologi di kedudukan ke-79, Seni & Kemanusiaan di kedudukan ke-98, Sains Hayat & Perubatan di kedudukan ke-118 dan Sains Semula Jadi di kedudukan ke-134.

Subjek Antropologi pula berjaya menembusi kelompok 200 terbaik buat kali pertama, menjadi satu-satunya subjek antropologi yang disenaraikan di Malaysia.

 

2- Universiti Putra Malaysia (UPM)
(kedudukan ke-4)

UPM berada pada kedudukan keempat dalam senarai 10 universiti terbaik Asia Tenggara dan ke-20 Asia.

Ditubuhkan pada tahun 1931 sebagai Sekolah Pertanian dan kemudian bertukar kepada beberapa nama sebelum dinamakan sebagai Universiti Putra Malaysia pada 1997.

Antara bidang yang menjadi pilihan pelajar termasuk bidang pertanian, sains, kejuruteraan dan teknologi maklumat.

Ranking yang hebat ini banyak disumbangkan oleh reputasi akademik, outbound exchange student sekali gus menunjukkan komitmen komuniti UPM untuk mengekalkan kecemerlangan akademik, kebolehpasaran graduan dan pengalaman pembelajaran global.

 

3 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)
(kedudukan ke-5)

UKM berada di kedudukan kelima dalam senarai top 10 universiti ASEAN.

Sejak penubuhannya pada 18 Mei 1970, UKM bukan sahaja telah memenuhi visi para pengasasnya dalam menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar untuk pembelajaran dan keilmuan, tetapi juga berjaya melahirkan para intelektual dan cendekiawan untuk negara.

Malah, cendekiawan UKM juga banyak terlibat dalam penyelidikan ilmiah dan wacana kebangsaan.

Di UKM, jurusan popular atau lazim adalah pentadbiran perniagaan berdasarkan ambilan terkini. Jurusan popular lain antaranya perubatan, undang-undang dan sains politik.
Kejayaan terkini mencerminkan usaha berterusan UKM dalam meningkat reputasi dan kecemerlangan dalam arena pendidikan tinggi global.

 

4- Universiti Teknologi Malaysia (UTM) (kedudukan ke-6)

Berdasarkan QS World University Rankings 2025, UTM berada pada kedudukan keenam daripada 10 universiti terbaik di Asia Tenggara.

Di peringkat global, UTM meningkat tujuh anak tangga daripada kedudukan 188 tahun lalu kepada 181 tahun ini.

Bermula sebagai Sekolah Teknik Treacher yang ditubuhkan pada 1904, institusi ini telah dinaik taraf menjadi Maktab Teknik pada 1941. Pada 1972 ia dinamakan Institut Teknik Kebangsaan (ITK) sebelum secara rasmi menjadi Universiti Teknologi Malaysia pada 1975.

Antara jurusan popular ialah kejuruteraan awam, kejuruteraan elektrik, mekanikal dan sains komputer.

Menurut UTM NewsHub, peningkatan ranking banyak dimainkan oleh kualiti pendidikan dan penyelidikan berimpak sejajar Pelan Strategik enVision UTM 2025.

 

5 – Taylor’s University (kedudukan ke-7)

Taylor’s University merupakan universiti swasta di Malaysia yang berada pada kedudukan ketujuh dalam senarai 10 universiti terbaik di Asia Tenggara.

Ia ditubuhkan pada 1969 sebagai sebuah kolej swasta. Pada tahun 2006, ia telah dinaik status menjadi universiti.

Apa yang menjadi rahsia kejayaan mereka ialah komuniti Taylor’sphere – pendidik, titan industri, rakan-rakan kerjasama universiti dan lain-lain lagi.

Antara subjeknya mendapat ranking yang tinggi di peringkat global ialah hospitaliti dan pengurusan leisure, sejarah, seni, rekaan, data sains dan AI.

Presidennya, Prof. Barry Winn dilapor berkata, kejayaan itu berpunca kecemerlangan akademik, inovasi dan kejayaan pelajar.

 

6 – Universiti Sains Malaysia (USM)
(kedudukan ke-8)

USM yang ditubuhkan pada 1969 merupakan universiti kedua ditubuhkan di negara ini. Ia berada pada kedudukan kelapan dalam senarai 10 universiti terbaik di Asia Tenggara berdasarkan kedudukan terkini.
USM menawarkan pelbagai program pengajian kepada para pelajarnya. Di USM, pelajar bukan saja menimba ilmu tetapi juga akan merasai persekitaran yang memupuk kreativiti, pemikiran kritis dan inovasi.
Berdasarkan data terbaharu, jurusan paling popular USM ialah sastera dalam pendidikan, perakaunan, doktor perubatan dan ekonomi.
USM pernah berada di kedudukan kedua di Malaysia pada 2023 dan ia disumbang visi Transforming Higher Education for a Sustainable Tomorrow.

 

7- UCSI Universiti (kedudukan ke-9)

Dalam senarai 10 universiti terbaik di Asia Tenggara, UCSI berada pada kedudukan kesembilan.
UCSI merupakan universiti swasta di Kuala Lumpur yang ditubuhkan pada tahun 1986 sebagai sebuah institusi latihan komputer pada mulanya.
Ia terus pantas berkembang dan diberikan status universiti penuh pada tahun 2008.
Universiti ini menawarkan pelbagai program kepada pelajar merangkumi sains gunaan, pengurusan perniagaan, kejuruteraan dan banyak lagi.
Naib Canselor UCSI, Prof. Datuk Dr. Siti Hamisah Tapsir dilapor berkata, pihaknya menyedari peningkatan yang baik oleh universiti terutama dalam subjek-subjek berasaskan sains yang amat penting dalam Fourth Industrial Revolution (4IR).

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN