PETALING JAYA – Segelintir pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA) sanggup mengikat perut selain berjimat sepanjang berada di universiti semata-mata untuk menghantar sebahagian wang pengajian mereka ke kampung bagi membantu keluarga.
Malah, terdapat juga pelajar yang dikategorikan sebagai miskin tegar terpaksa menggunakan wang bantuan zakat bagi memastikan adik beradik mereka dapat meneruskan persekolahan seperti biasa.
Pengalaman itu dilalui sendiri seorang penuntut IPTA di Lembah Klang dikenali Amirah, 25, yang mengakui mengirim wang kepada keluarganya yang menetap di sebuah daerah di Sabah hampir setiap bulan sejak 2021.
Amirah mendakwa, dia tidak mendapat pinjaman daripada mana-mana institusi, sebaliknya terpaksa bekerja sambilan bagi memastikan wang perbelanjaan di IPTA dan keluarga di kampung mencukupi setiap bulan.
“Sejak mula masuk ke IPTA memang tidak dapat pinjaman kerana ada sedikit masalah berkaitan penjamin.
“Mujurlah IPTA saya ini ada beri bantuan ‘one off’ sebanyak RM1,000 dan beberapa bantuan zakat.
“Berbekalkan bantuan itu, saya nekad untuk meneruskan pengajian di sini dan pada masa sama melakukan kerja sambilan seperti bekerja di kedai makan dan kerja secara online. Dalam sebulan dapatlah antara RM400 hingga RM600.
“Sebahagian wang itu saya hantar untuk keluarga di kampung dan sebahagian lagi saya gunakan untuk kegunaan di kampus seperti makan minum dan bayar yuran pengajian,” katanya kepada Kosmo! Ahad.
Pelajar tahun akhir jurusan Kejuruteraan Awam itu berkata, dia terpaksa membantu keluarganya di kampung memandangkan ibunya tidak bekerja, manakala bapanya hanya buruh kasar yang tidak mempunyai pekerjaan tetap.
“Ayah hanya kerja tolong bersihkan ladang sawit dan buat beberapa kerja kampung. Bila ada kerja adalah pendapatan, bila tiada kerja, tiada pendapatan.
“Sebagai anak sulung daripada lima beradik, saya mengambil tanggungjawab membantu ayah untuk menyara empat lagi adik yang masih bersekolah di sekolah menengah dan sekolah
rendah.
“Sebab itu hampir setiap bulan saya akan cuba cari duit dan hantar ke kampung. Dengan cara ini keluarga saya dapat beli sedikit barang keperluan dan bantu adik-adik yang masih bersekolah,” kongsinya.
Bercerita lebih lanjut, Amirah bersyukur kerana selepas lebih dua tahun berhempas pulas belajar sambil bekerja, dia akhirnya mendapat bantuan daripada Yayasan Budi Ihsan Malaysia (YBIM) sejak 2024.
“Dengan bantuan YBIM sebanyak RM750 sebulan, ia cukup untuk menampung perbelanjaan saya di kampus. Jika sebelum ini saya terpaksa ikat perut, makan sekali atau dua kali sehari, itu pun pilih menu yang murah-murah.
“Sebab saya mahu jimat kos dan baki wang itu bolehlah saya hantar kepada keluarga di kampung. Walaupun tidak banyak, sekurang-kurangnya ringanlah beban ayah,” katanya yang bercita-cita untuk menjadi seorang arkitek pada masa akan datang.
Berkongsi kisah sama membantu keluarga di kampung menggunakan wang pinjaman adalah seorang lagi pelajar dikenali sebagai Khairul, 25, yang berasal dari sebuah negeri di pantai timur.
Menurut penuntut jurusan pendidikan itu, sebahagian wang pinjaman yang diterima akan dihantar ke kampung bagi membantu menampung perbelanjaan keluarga.
“Saya ada adik seramai tiga orang yang masih bersekolah. Ibu berniaga jual kuih dan nasi lemak, manakala ayah pula tidak dapat bekerja selepas ditimpa kemalangan empat tahun lalu.
“Ayah juga diserang angin ahmar sebelah badan dan pendapatan keluarga bergantung kepada ibu. Ayah ada dapat bantuan daripada baitulmal dan agensi kerajaan, tetapi tidak cukup untuk tampung perbelanjaan terutama persekolahan adik-adik.
“Sebab itu saya gunakan sebahagian wang pinjaman untuk membantu mereka dan pada masa sama, saya turut membuat kerja sambilan untuk menampung keperluan di kampus,” katanya.
Khairul menambah, dia sesekali tidak menyesal menggunakan wang pinjaman itu untuk dihantar ke kampung membantu keluarga, malah katanya dia mengambil tanggung jawab itu sebagai anak sulung lelaki.















