fbpx
Pengunjung merasai pengalaman bagaikan salji turun dari langit secara realistik di tingkat 48 Wyndham Suites KLCC.

Pengalaman musim sejuk di tengah bandar KL

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TERASA kedinginan memeluk tubuh saat penulis melangkah masuk ke dalam ruangan sejuk beku di tingkat 48 Wyndham Suites Kuala Lumpur City Centre (KLCC), baru-baru ini.

Dinding-dinding berwarna biru dan putih di ruangan tersebut diselaputi kabus nipis, manakala lantainya mengeluarkan bunyi berderap seperti salji yang baru menutupi bumi.

Tidak dinafikan, bukan mudah untuk penulis menyesuaikan diri dengan perubahan suhu cuaca Malaysia yang secara puratanya sekitar 28 darjah Celsius (°C) kepada suhu salji iaitu -1°C.

Di dalam ruangan seluas 24,500 kaki persegi itu, terdapat dua bahagian yang membolehkan pengunjung merasai pengalaman bagaikan salji turun dari langit secara realistik.

Tarikan yang dinamakan WynSnow itu sememangnya menawarkan peluang terbaik buat penduduk negara tropika seperti Malaysia untuk bermain salji tanpa perlu terbang ke luar negara.

Menurut Ketua Pemasaran Kumpulan, Monica Ong, WynSnow merupakan tarikan pertama seumpamanya yang menawarkan suasana salji sebenar secara imersif di pusat bandar Kuala Lumpur.

“Kuala Lumpur merupakan kota metropolitan yang memiliki pelbagai tarikan pelancongan sesuai untuk pelawat tempatan dan antarabangsa, dan kehadiran WynSnow menambahkan lagi keunikan pusat bandar ini.

“Di WynSnow, pengunjung bukan sahaja dapat menyentuh dan merasai lembutnya salji yang jatuh, malah berpeluang bermain dengan beberapa aktiviti berkaitan salji yang disediakan,” katanya kepada CitaRasa.

Peralatan membuat bola salji turut disediakan.

Secara keseluruhan, tarikan ini menampilkan reka bentuk dua tingkat dan dua bahagian utama yang lebih sesuai untuk aktiviti bersama kanak-kanak.

Bahagian pertama merupakan ruang permainan salji yang membolehkan pengunjung bermain bola salji, membina orang salji dan membuat ‘snow angel’.

Terdapat juga gelongsor interaktif yang menghubungkan dua aras, sekali gus menambah elemen keseronokan dan adrenalin kepada lawatan musim sejuk para pengunjung.

Bahagian kedua pula ialah ruang acara khas untuk sambutan hari jadi, pertunangan mahupun lamaran romantik dalam suasana musim sejuk.

Untuk pengetahuan, WynSnow diuruskan oleh I-Berhad, syarikat yang sama di sebalik kejayaan SnoWalk di i-City, Shah Alam, Selangor. Setelah puas bermain salji di bahagian dalam, pengunjung boleh mencuba cabaran kolam glasier simulasi yang memberikan ilusi ais merekah apabila dipijak, ia terletak di bahagian luar bilik.

Tambah Monica, pengunjung boleh memanaskan badan mereka dengan suhu semasa Kuala Lumpur buat sementara waktu di bahagian luar sebelum menyambung semula aktiviti bermain.

“Oleh kerana ini adalah bayaran sekali masuk tanpa had masa, pengunjung boleh memanaskan badan dengan suhu Kuala Lumpur di luar bilik tanpa perlu meninggalkan ruangan sejuk beku.

“Paling menarik, mereka juga boleh bergambar dengan berlatarbelakangkan panorama mercu tanda Kuala Lumpur seperti KLCC dan The Exchange TRX,” katanya.

Pengunjung yang datang dinasihatkan untuk membawa baju sejuk, sarung tangan dan memakai kasut yang sesuai kerana tiada perkhidmatan sewaan disediakan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN