PETALING JAYA – Keluarga prebet Muhammad Muqriz Aseri bertegas enggan memaafkan dua anggota tentera yang mendera anak mereka sampai mati kerana masih tidak dapat menerima kejadian dan perbuatan kejam ke atas mangsa.
Ibunya, Nor Azlina Zambri, 45, berkata, Allahyarham Muhammad Muqriz, 21, merupakan anak harapan keluarga dan dia masih terkejut dengan kematian anggota Tentera Darat Malaysia itu akibat didera senior di kem di Miri, Sarawak pada 24 Mac lalu.
Katanya, dia mahukan kedua-dua tertuduh dijatuhi hukuman berat, setimpal dan adil bagi membela kematian anak kedua daripada empat beradik itu.
“Memang saya dan keluarga tidak dapat nak maafkan mereka (tertuduh) atas apa yang sudah dilakukan pada anak saya.
“Hati saya sangat sakit bila tahu apa yang kedua-dua suspek telah buat pada Allahyarham anak saya. Kalau arwah ada buat salah sekali pun, tak sepatutnya dia diperlakukan sedemikian rupa,” katanya ketika dihubungi Kosmo!.

Menurut Nor Azlina, dia dan suami, Aseri Ismail, 49, sememangnya ada merancang untuk datang ke Miri, Sarawak bagi mendengar sendiri pertuduhan terbabit.
Namun katanya, ia terpaksa ditangguhkan atas sebab kekangan kerja dan kos yang tinggi yang menyebabkan mereka hanya mengikuti perkembangan kes daripada pihak polis sahaja.
“Kalau nak ikutkan memang kami nak pergi (Mahkamah Majistret Miri) tapi tak pasti lagi bila dapat ke sana,” katanya.
Ujar Nor Azlina, buat masa ini suaminya yang sering berhubung dengan pihak polis bagi mengetahui perkembangan kes kedua-dua tertuduh.
Terdahulu, dua anggota tentera dihadapkan ke Mahkamah Majistret Miri atas tuduhan menyebabkan kematian Muhammad Muqriz, bulan lalu.
Muhammad Afiq Syarim, 23, dari Bedong, Kedah dan Mohamad Faies Khuzaimah, 21, dari Tumpat, Kelantan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama.
Mengikut kesalahan ini, kedua-dua prebet tentera itu boleh dikenakan hukuman mati atau penjara tidak kurang dari 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun; dan sekiranya tidak dihukum mati, boleh disebat tidak kurang dari 12 kali, jika sabit kesalahan.
Berdasarkan pertuduhan kes, kedua-dua tertuduh didakwa melakukan pembunuhan dengan menyebabkan kematian Muhammad Muqriz.
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu dengan niat bersama antara jam 2.15 pagi hingga 3.05 pagi, 24 Mac lalu di sebuah bilik di Blok Kediaman Bujang LLP, Kompeni Alpa, Batalion 20 Rejimen Askar Melayu Diraja, Kem Sri Miri.
















