INDUSTRI penerbangan telah melangkah jauh dan berkembang pesat sejak Wright bersaudara melancarkan kapal terbang pertama pada awal abad ke-20.
Kini, kapal terbang telah melalui pelbagai revolusi apabila dilengkapi dengan teknologi terkini dalam sistem operasinya.
Bagaimanapun, kapal terbang masih mempunyai ketergantungan terhadap bahan api fosil sehingga mewujudkan kebimbangan global mengenai pelepasan karbon dan kesan perubahan iklim.
Malah, industri penerbangan ketika ini dilaporkan menyumbang kesan buruk kepada alam sekitar dengan kira-kira tiga peratus daripada pemanasan global.
Dalam usaha mencari penyelesaian yang lebih mesra alam, kapal terbang solar muncul sebagai inovasi revolusioner yang berpotensi mengubah landskap industri penerbangan dunia.
Menurut jurutera elektronik daripada Universiti Mumbai, India, Hussain Kanchwala, konsep kapal terbang menggunakan tenaga suria atau solar bermula sejak tahun 1970-an.
Ujarnya, ia selepas jurutera dan saintis mula meneroka keupayaan panel solar untuk menjana tenaga bagi pesawat ringan.
“Salah satu pencapaian terawal adalah selepas pesawat Solar Challenger yang direka oleh Paul MacCready berjaya terbang melintasi Selat Inggeris pada tahun 1981.
“Pada tahun 90-an, beberapa prototaip pesawat solar dikembangkan termasuk Helios daripada NASA (Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan) yang mampu mencapai ketinggian 29,524 meter.
“Ia satu rekod bagi pesawat bertenaga solar,” katanya dalam satu artikel di portal, Science ABC baru-baru ini.
Tambahnya, kejayaan itu membuktikan bahawa teknologi tenaga suria boleh digunakan untuk penerbangan jarak jauh tanpa bergantung kepada bahan api.

Hal ini juga dibuktikan dengan beberapa pencapaian penerbangan kapal terbang solar mengelilingi dunia. Misalnya, Solar Impulse 2 dan kapal terbang solar bersaiz besar seperti Skydweller Aero.
Solar Impulse 2 mencatatkan rekod tersendiri pada tahun 2016 apabila berjaya mengelilingi dunia tanpa menggunakan setitik pun bahan api fosil.
Kejayaan itu bukan sahaja membuktikan keupayaan tenaga boleh diperbaharui dalam penerbangan, malah membuka pintu kepada penerbangan lebih mesra alam.
Ilham inovasi kapal terbang di bawah projek Solar Impulse direalisasikan oleh dua individu iaitu seorang ahli psikiatri dan pengembara, Bertrand Piccard serta jurutera dan juruterbang berpengalaman, Andre Borschberg.
Berkongsi tentang Solar Impulse, Piccard dalam satu temu bual dengan media antarabangsa berkata, projek tersebut bermula pada tahun 2003. Ia bermatlamat mencipta kapal terbang yang boleh terbang sepenuhnya menggunakan tenaga suria.
“Solar Impulse 1 merupakan model pertama yang berjaya membuat penerbangan tanpa henti selama 26 jam pada tahun 2010.
“Ia membuktikan bahawa tenaga solar boleh menyokong penerbangan sepanjang hari termasuk pada waktu malam.
“Berdasarkan kejayaan itu, kami membangunkan model yang lebih canggih, Solar Impulse 2 yang akhirnya menjadi kapal terbang solar pertama mengelilingi dunia,” ujarnya.
Berkongsi tentang spesifikasi Solar Impulse 2, Borschberg berkata, kapal terbang berkenaan direka dengan teknologi terkini bagi memastikan keberkesanan dan kecekapan tenaga optimum.
Ia dilengkapi dengan 17,248 sel solar berkecekapan tinggi yang dipasang pada sayap sepanjang 72 meter iaitu lebih panjang daripada sayap Boeing 747.
Tuaian tenaga suria berkenaan dikumpulkan untuk menjana bateri litium-polimer.

Pada masa sama, bateri itu menyimpan tenaga solar untuk membolehkan penerbangan waktu malam.
“Ia juga mempunyai reka bentuk ringan dengan badan pesawat diperbuat daripada serat karbon. Pesawat ini seberat 2,300 kilogram, hampir sama dengan berat sebuah kereta.
“Kapal terbang ini bergerak pada kelajuan sederhana iaitu purata antara 50-90 kilometer sejam (km/j).
“Ini menjadikannya sesuai untuk penerbangan jarak jauh dengan penggunaan tenaga minimum,” jelasnya.
Katanya lagi, Solar Impulse 2 memulakan penerbangan epiknya pada 9 Mac 2015 dari Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu dan mengambil masa lebih setahun mengelilingi dunia.
Kapal terbang solar itu mendarat di beberapa perhentian penting sepanjang laluan seperti Oman, India, Myanmar, China, Hawaii di Amerika Syarikat (AS), kemudian melalui Sepanyol sebelum kembali ke Abu Dhabi pada 26 Julai 2016.
Selain kejayaan Solar Impulse 2, kapal terbang solar bersaiz besar seperti Skydweller Aero juga telah mencatat pencapaian penting dalam penerbangan mesra alam.
Skydweller Aero adalah pesawat solar tanpa juruterbang yang dibangunkan berdasarkan teknologi Solar Impulse. namun ia memiliki keupayaan untuk beroperasi secara autonomi dalam jangka masa panjang.
Dalam perkongsian artikel oleh portal aerotime.aero, Ketua Pegawai Eksekutif Skydweller Aero, Robert Miller berkata, pesawat itu berlepas dan mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Stennis (HSA), AS.
“Pesawat ini melakukan penerbangan berterusan dengan sayap lebih besar daripada Boeing 747.
“Skydweller boleh digunakan untuk misi jangka panjang seperti kawalan udara tambahan di atas zon konflik atau mengawasi aktiviti tentera laut di perairan yang menjadi pertikaian tanpa mempertaruhkan nyawa juruterbang.
“Armada pesawat tanpa juruterbang membolehkan banyak misi jangka panjang dilakukan bagi menyokong keselamatan negara dan komunikasi bukan darat dengan penjimatan kos revolusioner,” katanya.
Tambah Miller, pihaknya menggunakan bahan pada abad ke-21 yang canggih dari aspek sains, kecerdasan buatan (AI) dan pembangunan perisian bagi membina pesawat Skyweller Aero.
Ini membolehkan Skydweller Aero melonjak mendahului pengeluar pesawat solar lain dari segi prestasi, tempoh penerbangan dan keberkesanan kos.
Skydweller Aero mempunyai keupayaan penerbangan berterusan, di mana pesawat boleh terbang selama berbulan-bulan tanpa perlu mendarat, sekali gus menjadikannya ideal untuk operasi pemantauan serta komunikasi.
Inovasi pesawat itu lebih tertumpu kepada penggunaan dalam pertahanan dan keselamatan.
Teknologi itu boleh digunakan untuk pengawasan maritim, pemantauan bencana alam serta komunikasi di kawasan terpencil.
Dengan reka bentuk modular, ia membolehkan pesawat itu dilengkapi dengan pelbagai sensor dan peralatan mengikut keperluan misi.
Solar Impulse 2 dan Skydweller Aero bukan sekadar pencapaian teknologi, malah menjadi simbol perubahan dalam industri penerbangan.
Kejayaan kapal terbang solar mengelilingi dunia menjadi inspirasi kepada inovator dan saintis untuk terus mengembangkan teknologi tenaga bersih.
Antara implikasi penerbangan solar adalah keupayaannya untuk mengurangkan pelepasan karbon, perkembangan pesawat hibrid yang menggabungkan tenaga solar dan elektrik untuk penerbangan komersial.
Selain itu, ia mendorong kepada inovasi pesawat tanpa pemandu dan potensi penerbangan ke angkasa lepas.














