fbpx
SUFIAN terkejut selepas melihat lembaga hitam berambut panjang sedang bertenggek di atas pintu tandas yang digunakannya ketika berhenti di R&R.

K2

Misteri lembaga bermata merah di hentian rehat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BERPELUANG pulang ke kampung menyambut lebaran pastinya menjadi saat paling dinanti-nantikan terutamanya buat mereka yang berada di perantauan.

Begitu juga dengan Sufian Halim, 42, yang bekerja di Kuala Lumpur sebagai akauntan di sebuah syarikat insurans terkemuka.

Sewaktu menyambut Hari Raya Aidilfitri pada dua tahun lalu, Sufian berkata, dia telah melalui satu pengalaman seram yang sukar dilupakan sehingga hari ini.

Ketika itu, dia dalam perjalanan pulang menyambut Syawal di kampungnya di Skudai, Johor.

Disebabkan bebanan tugas, Sufian terpaksa bergerak pulang ke kampung pada malam raya secara sendirian.

“Saya bertolak sekitar pukul 11 malam. Disebabkan jalan agak sesak, perjalanan saya pulang ke kampung pada malam itu agak perlahan.

“Biarpun terpaksa memandu pada lewat malam, namun ia tidak menjadi masalah kerana saya sudah biasa.

“Ketika dalam perjalanan pulang ke kampung, tiada apa yang berbeza atau aneh berlaku sehinggalah saya berhenti di satu hentian rehat dan rawat (R&R),” ujarnya kepada CitaRasa.

Ujar Sufian, tandas di kawasan hentian itu berada agak jauh dari premis jualan, selain banyak kedai sudah menutup operasi pada waktu itu.

“Ketika itu, jam di tangan menunjukkan pukul 2 pagi.

“Awalnya, saya berasa agak takut, namun disebabkan rasa tidak tahan untuk melepaskan ‘hajat’, saya memberanikan diri ke tandas,.

“Bukan bimbang bertemu makhluk halus, tetapi saya risau tentang keselamatan diri jika terserempak binatang seperti ular atau monyet.

“Kebetulan waktu itu tidak ramai orang yang berhenti, hanya ada beberapa buah kereta diletakkan di parkir.

“Sewaktu saya menghampiri tandas, kelihatan beberapa orang keluar masuk. Jadi, saya terus masuk ke tandas untuk melepaskan ‘hajat’.

“Ketika di dalam tandas, saya terdengar suara seperti orang berbual di ruang singki. Jadi, saya tidak berasa terlalu sunyi dan keseorangan.

“Sebaik saja keluar dari tandas, saya melihat seorang pemuda berbaju lusuh sedang berdiri kaku berhampiran singki,” katanya.

Sebelum Sufian keluar dari tandas, matanya sempat menjeling ke arah pemuda itu.

“Saya terkejut apabila melihat pemuda itu tiba-tiba menoleh ke belakang sebelum merenung tepat ke arah saya.

“Disebabkan rasa takut, saya mempercepatkan langkah menuju ke kereta.

“Sebaik tiba di kereta, saya dapati kunci kereta tiada di dalam poket seluar.

“Saya mula gelabah dan teringat bahawa kunci kereta saya tertinggal bersama dompet di dalam tandas.

“Disebabkan itu, saya bergegas semula ke tandas, malangnya dompet dan kunci kereta saya tiada di tempat sepatutnya.

“Sewaktu ingin keluar dari tandas untuk mencari pekerja kebersihan, saya terlihat dompet dan kunci kereta saya berada di tepi singki iaitu tempat di mana pemuda tadi berdiri,” katanya.

Sufian terus mencapai barang peribadinya dan bergegas keluar sebelum terdengar ada orang suara lelaki memanggil namanya.

“Saya segera toleh ke belakang selepas mendengar ada orang panggil nama.

“Namun, alangkah terkejutnya saya apabila melihat satu lembaga hitam berambut panjang sedang bertenggek di atas pintu tandas yang saya gunakan tadi.

“Biarpun sekilas pandang, saya masih ingat wajah lembaga itu sangat bengis, matanya berwarna merah dan mempunyai dua gigi taring.

“Selepas melihat susuk menyeramkan itu, saya terus berlari menuju ke kereta yang terletak kira-kira 50 meter.

“Ketika di dalam kereta, saya terus pasang bacaan ayat-ayat al-Quran sehingga sampai ke destinasi.

“Selepas tiba di kampung, saya menceritakan peristiwa seram itu kepada ahli keluarga yang lain.

“Saya betul-betul terkejut apabila abang ipar yang juga seorang pemandu lori memberitahu bahawa kawasan R&R berkenaan memang agak ‘keras’.

“Menurut cerita abang ipar, ramai pemandu lori pernah melihat lembaga hitam itu ketika menggunakan tandas di R&R berkenaan.

“Raya saya pada tahun itu juga tidak menyeronokkan kerana hampir seminggu saya demam,” katanya.

Sebaik pulang ke Kuala Lumpur, Sufian mencari kisah-kisah misteri di R&R itu di dalam internet. Hasil cariannya, dia mendapati bahawa terdapat beberapa individu pernah melalui pengalaman misteri di situ.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN