fbpx
KESAN kemusnahan akibat insiden kebakaran dan letupan saluran paip gas di Putra Heights, Subang Jaya – Foto oleh SHIDDIEQIIN ZON

‘Sebuah jentera pengorek ‘be­kerja’ betul-betul di atas rizab’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Insiden kebakaran dan letupan saluran paip gas milik Petronas pada 1 April lalu bukan sahaja menyebabkan kemusnahan teruk, malah turut mencetuskan persoalan mengenai punca sebenar kejadian.

Malah, kebimbangan pendu­duk mengenai aktiviti pembinaan di kawasan itu pernah disuarakan sebelum ini termasuk ada yang mendakwa kawasan jalan tempat berlakunya kebakaran telah dikorek berkali-kali sebelum kejadian berlaku.

Beberapa individu juga mempersoalkan bagaimanapun projek tersebut yang terletak di kawasan rizab saluran paip gas boleh dilakukan.

Setakat semalam, lebih 400 penduduk ditempatkan di dua pusat pemindahan sementara (PPS), manakala lebih 100 mang­sa menerima rawatan.

Seorang penduduk dikenali sebagai Lim Sian See mendakwa, selepas insiden kebakaran itu berlaku, Datuk Bandar Subang Jaya memaklumkan bahawa projek berkenaan telah mendapat Kelulusan Merancang (KM).

Ujarnya, namun selepas KM diperoleh, tanggungjawab membina infrastruktur seperti air, elektrik, jalan, saliran dan sebagainya terletak di bahu kontraktor dan perunding projek.

Sian See berkata, sambungan uti­liti dilakukan ke laluan sedia ada yang paling hampir.

“Masalahnya, pembangunan ini kecil dan hanya melibatkan 10 unit kedai di atas tanah kecil yang bersebelahan dengan saluran paip gas Petronas.

“Bagi menyambungkan utiliti ke kediaman berhampiran Topaz, kontraktor perlu melintasi kawasan rizab Petronas.

“Saya sendiri melihat kerja sambungan ini dilakukan secara pengorekan terbuka. Dalam tempoh dua bulan lepas, kawasan jalan ini telah dikorek berkali-kali untuk sambungan air dan Tenaga Nasional Berhad,” dakwanya.

Tambah Sian See, kali terakhir dia menyaksikan sendiri proses pengorekan tersebut adalah pada 31 Mac lalu, ketika dalam perjalanan ke Pesta Buku KLCC.

“Sebuah jentera pengorek be­kerja betul-betul di atas rizab Petronas dan hanya berhenti seketika untuk memberi laluan kepada saya,” katanya.

Dalam pada itu, Sian See berharap para penduduk diberikan prosedur nasional yang jelas serta langkah demi langkah apabila tragedi seperti ini berlaku.

Dia juga menyeru agar para peguam boleh menyemak dan pastikan sama ada prosedur dan tanggungjawab keselamatan dipatuhi.

“Jika isu ini tak diuruskan de­ngan betul, ia akan jadi krisis imej nasional.

“Saya mangsa. Saya nampak sendiri api menjulang ke langit, macam gunung berapi. Kami hanya ada beberapa minit untuk lari. Suhu begitu tinggi, semua plastik dan kereta cair macam aiskrim. Bolehkah rumah-rumah ini dibaiki?

“Saya harap pihak berkuasa dapat melihat isu ini dari kaca mata rakyat. Kami tak mahu sekadar tampal lubang. Kami mahu penyelesaian menyeluruh,” katanya.

Terdahulu, seorang individu turut berkongsi video rakaman kamera papan pemuka yang menunjukkan kehadiran jentera pengorek didakwa dalam kawasan jajaran paip gas berpagar.

Rakaman itu dibuat beberapa hari sebelum tragedi kebakaran saluran paip gas di Putra Heights.

Berdasarkan video berkenaan, jelas menunjukkan kerja-kerja pengorekan tanah melangkaui kawasan berpagar.

Rakaman dipercayai bertarikh 28 Mac itu dimuat naik oleh pengguna TikTok, @Miiraahz dan me­maparkan jentera pengorek berada tidak jauh dari lokasi kerja pengorekan tanah di tepi jalan.

Selain itu, turut tular ialah tangkap layar perbualan WhatsApp yang mendakwa berlakunya pencerobohan tanah rizab Petronas sebelum kebakaran itu tercetus.

Berdasarkan tangkap layar tersebut, ia memaparkan perbualan antara dua individu me­ngenai pencerobohan yang berlaku.

“Masuk rizab Petronas dah. Kena report ni Petronas. Dia tercucuk paip tu meletup sampai rumah kau nanti,” antara petikan perbualan dari tangkap layar tersebut.

Sebelum ini, polis memaklumkan akan menyiasat dakwaan yang mengaitkan punca kebakaran saluran paip gas di Putra Heights Subang Jaya disebabkan oleh kerja mengorek di tanah ri­zab Petronas.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan dilaporkan berkata, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta Petronas akan melakukan pemeriksaan di kawasan-kawasan tertentu bagi mengenal pasti punca sebenar kebakaran berkenaan.

“Kita akan siasat semua itu dan jika benar ada korek tanah, kita nak tahu siapa yang korek,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN