GUA MUSANG – Seorang lelaki yang menyediakan perkhidmatan mencuci karpet tidak menyangka mendapat rezeki berganda pada bulan Ramadan tahun ini apabila menerima lebih 600 tempahan untuk membersihkan karpet rumah dan masjid sempena Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.
Zamri Muhamad, 39, yang mengusahakan perniagaan cucian di Bandar Utama di sini turut mengakui tidak menang tangan untuk melayan setiap permintaan daripada pelanggannya.
Menurut Zamri, jumlah pelanggan yang menghantar kenderaan untuk membuat cucian dalaman kereta, sofa dan tilam juga meningkat sekali ganda.
Katanya, premis miliknya biasanya menerima 300 helai karpet setiap bulan, namun jumlah itu meningkat sekali ganda pada bulan Ramadan kali ini.
“Pendapatan kami juga meningkat dan cuaca panas banyak membantu mempercepatkan proses pengeringan. Pelanggan yang mendapatkan perkhidmatan kami tidak perlu menunggu lama,” katanya.
Zamri memberitahu, dia juga banyak menerima perkhidmatan mencuci karpet di masjid dan akan menggunakan mesin khas untuk membuang habuk dan kotoran yang melekat pada karpet.
“Karpet yang dicuci akan melalui beberapa proses seperti membuang habuk, memberus dan membilas dengan pewangi.
“Selepas siap dijemur, karpet itu dibungkus dan kami akan pastikan ia seperti karpet baharu sebelum dikembalikan kepada pemiliknya,” katanya.
Zamri berkata, dia juga membuat perkhidmatan cuci tilam, bantal dan sofa.
Katanya, kadar upah yang berpatutan dicaj kepada pelanggan iaitu antara RM10 hingga RM150 mengikut ukuran sebidang karpet.
“Bagi cucian keseluruhan permukaan dalaman kenderaan, kami mengambil upah bermula RM250 bagi sebuah kereta.
“Pelanggan bukan hanya penduduk di sekitar bandar Gua Musang, tetapi juga di kawasan sempadan Kelantan iaitu di Merapoh, Pahang,” katanya.














