fbpx
KEKURANGAN peluang pekerjaan untuk OKU menjadi antara faktor yang mendorong kepada situasi malang golongan itu terus berlaku. - GAMBAR HIASAN

Orang buta juga mahu kerja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BELAJAR sehingga berjaya mengenggam segulung ijazah kedoktoran (PhD), namun hanya mampu bekerja sebagai tukang urut. Realiti pahit itu masih berlaku dan terpaksa dihadapi golongan orang kurang upaya (OKU) di negara ini.

Selain diskriminasi, kekura­ngan peluang pekerjaan bagi golongan tersebut juga menjadi antara faktor yang mendorong kepada situasi malang itu terus berlaku sehingga ke hari ini.

Keadaan itu sekali gus mematahkan semangat golongan OKU untuk berintegrasi dengan masyarakat ‘normal’ sehingga menyebabkan ada yang beranggapan hanya komuniti OKU sudi menerima mereka.

Keadaan itu juga sekali gus menjadikan pekerjaan sebagai tukang urut ataupun bus­kers jalanan selain penjual tisu sinonim dengan OKU terutamanya mereka yang cacat penglihatan.

Pengerusi Persatuan Orang Buta Perak, Idris Hashim berkata, tidak dapat dinafikan ­bahawa mendapatkan pekerjaan adalah antara cabaran ­paling besar dihadapi golongan itu ketika ini.

Beliau berkata, keadaan itu masih berlaku biarpun ramai dalam kalangan orang cacat penglihatan memiliki tahap pendidikan tinggi seperti ijazah sarjana ataupun PhD.

“Memang ramai yang ada ijazah tetapi tidak semua yang dapat kerja kerana memang susah nak mendapatkan ­pekerjaan.

“Apa yang berlaku ini cukup mendukacitakan kerana biarpun memiliki kelayakan akademik yang tinggi, tiada siapa yang sudi menggajikan mereka,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Beliau berkata, disebabkan kegagalan mendapatkan pekerjaan biarpun berkelayakan, situasi itu mendorong ramai OKU penglihatan bekerja mencari rezeki sebagai tukang urut ataupun buskers bagi mencari rezeki.

Katanya, biarpun kerajaan telah memperkenalkan dasar 1 peratus OKU diambil bekerja dalam perkhidmatan awam, ia masih belum menunjukkan keberkesanannya memandang­kan masih ramai golongan itu yang mengganggur.

“Kita juga tidak dapat menafikan memang ada syarikat yang mendiskriminasikan ­warga OKU dan saya berharap keada­an ini dapat diatasi,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan supaya syarikat atau agensi-agensi kerajaan dapat mewujudkan jawatan-jawatan khas yang boleh diberikan kepada golongan OKU penglihatan dalam mencari rezeki.

“Saya lihat sekiranya jawatan seperti kaunselor ataupun pegawai khidmat pelanggan diberikan keutamaan kepada ­golongan OKU ini, ia dapat membantu memperbaiki ­situasi dihadapi ketika ini.

“Ini kerana jawatan-jawatan tersebut hanya memerlukan interaksi antara manusia dan tidak melibatkan pergerakan-pergerakan fizikal. Ramai OKU penglihatan yang petah ­berbicara dan pastinya pekerjaan itu sesuai dengan mereka,” katanya.

Sebagaimana yang diperkatakan Idris, adalah menjadi tanggungjawab semua pihak untuk mewujudkan peluang pekerjaan kepada golongan OKU kerana mereka juga berhak untuk mencari rezeki seperti orang lain.

Begitu malang sekali sekira­nya golongan itu terus diabaikan dan dinafikan peluang mereka untuk turut sama menyumbang kepada negara.

Justeru, kerajaan negeri dan Pusat terutamanya perlu me­ningkatkan usaha untuk menjadikan impian golongan tersebut diambil bekerja menjadi realiti. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN