fbpx
SOFEA seorang yang setia kepada satu peranti selagi masih boleh digunakan.

Memori ‘burn’ lagu dalam CD untuk hadiah hari jadi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SETIAP tahun ada saja rekaan teknologi baharu yang muncul untuk memudahkan kehidupan seharian atau memberikan keseronokan ketika menikmati hiburan tidak mengira sama ada audio atau visual.

Biarpun masa sudah silih berganti, kenangan indah saat menggunakan gajet yang popular pada zaman dahulu tetap mekar dalam ingatan dan sukar untuk dilupakan, terutama jika dinikmati bersama dengan orang istimewa.

Begitu juga dengan personaliti televisyen, Sofea Nur Solehha Tun Nor Idris tatkala berkongsikan pengalaman menggunakan radio cakera padat (CD) dan kaset boombox yang dahulunya menjadi kegilaan ramai orang.

Kata hos yang mesra disapa sebagai Sofea itu, radio tersebut popular dalam kalangan remaja sekitar era 1990-an untuk merakam lagu kegemaran pada waktu itu.

“Waktu itu memang dari siang ke malam dengar radio. Boleh dikatakan dengar radio sampai tidak keluar bilik sebab asyik dengar radio saja.

“Disebabkan tidak keluar bilik kerana asyik dengar radio itu juga menjadi punca selalu kena marah dengan ibu, saya leka dengar lagu sampai tidak keluar dari bilik,” katanya kepada K-Tekno.

Pada masa sama radio tersebut turut menjadi sebahagian daripada memori indah buat ibu seorang cahaya mata itu terutama melayari kehidupan sebagai anak muda yang gemarkan muzik.

“Memang seronok masa zaman belajar dahulu saya dan kawan-kawan akan ‘burn’ (masukan) lagu kegemaran masing-masing ke dalam CD kosong.

“Kemudian kami saling berkongsi CD tersebut dalam kumpulan kami. Macam-macam senarai lagu ada, memang seronok betul. Waktu itu juga jika ada sesiapa yang menyambut hari lahir akan dapat hadiah senarai lagu ini,” katanya.

Selain bercerita tentang kenangan menggunakan radio CD dan kaset, pengacara rancangan 999 itu turut mengakui seorang yang setia kepada satu peranti selagi masih boleh digunakan.

Ujarnya, telefon jenis iPhone 14 Pro Max menjadi peneman setia setelah beberapa tahun menggunakan peranti pintar itu. Bahkan, telefon itu turut memberikan kemudahan untuknya merakam dan membuat suntingan video dengan mudah.

“Saya ini seorang yang setia dan mempunyai satu peranti kesayangan yang digunakan sekarang. Segalanya saya boleh lakukan dengan satu gajet ini.

“Dalam bidang kerja saya yang khususnya penghasilan skrip, vlogging dan suntingan video. Telefon pintar itu membuatkan saya suka dan mudah untuk digunakan,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN