JOHOR BAHRU – Seorang lelaki disyaki pengedar dadah diberkas polis ketika cuba melarikan diri dalam kejadian di Kilometer 58 Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran susur keluar Tol Simpang Renggam, Kluang dekat sini malam semalam.
Suspek berusia 45 tahun itu ditahan pada pukul 8 malam selepas melarikan diri dengan menaiki kereta Toyota Altis sejauh kira-kira 60 kilometer.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan (JBS) Asisiten Komisioner Mohd. Padzli Mohd. Zain berkata, sebelum kejadian, sepasukan anggota MPV JBS mengesan kenderaan yang dinaiki suspek dalam keadaan mencurigakan di Jalan Lembing, Taman Sri Tebrau di sini.
Menurutnya, anggota polis mengarahkan suspek memberhentikan kereta dipandunya namun suspek bertindak memecut laju kenderaan ke arah Jalan Kasa dan memasuki Lebuh Raya Penyebaran Timur (EDL).
“Pada masa yang sama anggota MPV JBS meminta bantuan sebelum 17 MPV Polis digerakkan bagi menjejaki suspek yang melarikan diri tersebut.
“Suspek berjaya ditahan di Kilometer 58, berhampiran susur keluar Tol Simpang Renggam, Kluang,”katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mohd. Padzli berkata, hasil pemeriksaan ke atas kenderaan itu, polis menemui sejumlah dadah disyaki jenis syabu dan ektasi bernilai kira-kira RM50,000.
Jelasnya, semakan awal mendapati kereta yang digunakan suspek didaftarkan atas nama sebuah syarikat yang menjalankan perniagaan sewa kereta.
Ujarnya, suspek memiliki beberapa rekod jenayah lampau berkaitan dadah.
Suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga Februari depan untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.-K! ONLINE