fbpx
Golongan peniaga diingatkan agar sentiasa menitikberatkan soal kebersihan agar juadah yang dijual selamat. - GAMBAR HIASAN

Ayam kicap campur lipas terbang, jangan berulang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Dua isu yang ingin disentuh penulis membabitkan peniaga. Sudah 2025, masih ada kes juadah bazar Ramadan dan kisah scam baju raya bagai tiada pengajaran.

Kali ini, lauk ayam masak kicap secara tidak sengaja bercampur lipas? Bukan seekor tetapi dua ekor yang dijual peniaga bazar.

Kembang tekak saat melihat perkongsian pengguna mengenai lauk ‘extra’ itu, terbantut selera berbuka puasa. Boleh jadi sebulan tidak makan lauk ayam masak kicap.

Sedih, marah, hampa dan trauma bergabung menjadi satu. Niat untuk menikmati juadah selepas seharian berpuasa ‘putus’ dek makhluk tidak diundang.

Bagaimana lipas boleh masuk dalam masakan, macam mana juadah itu disediakan dan disimpan, adakah penjual tidak perasan premis atau kediaman turut ‘dihuni’ serangga itu selain soal kebersihan tidak dititikberatkan.

Bagi penulis, peniaga perlu melihat semula tempat penyediaan dan cara penyimpanan makanan tersebut. Lakukan pembersihan besar-besaran dan tutup sempurna makanan dimasak. Kes ini sepatutnya menjadi pengajaran.

Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan Kementerian Kesihatan memaklumkan banyak kes keracunan makanan disebabkan oleh kuman yang dibawa lipas. Hasilnya, ramai yang mendapat cirit birit, hepatitis, taun, kudis dan bengkak pada mata.

Lipas mempunyai satu tabiat yang buruk semasa makan iaitu memuntahkan balik apa yang dimakan dan najis di tempat ia sedang menikmati makanan.

Sehingga semalam, 11 Ramadan belum ada kes keracunan makanan dilaporkan. Berbeza tahun sebelum itu, pada 2022, dua beradik muntah-muntah dan cirit birit selepas makan puding buih yang dibeli di sebuah bazar di Terengganu.

Selain itu di Johor, tiga aduan diterima membabitkan kes makanan basi dan keracunan makanan selepas membeli juadah berbuka di salah sebuah bazar di negeri itu.

Bazar Ramadan ibarat ‘syurga’ buat orang ramai terutama buat ibu bekerja, bapa tunggal dan orang bujang kerana ia one stop centre menempatkan pelbagai juadah termasuk minuman. Kekangan masa menyebabkan lokasi itu menjadi tumpuan mereka.

Di situ jugalah makanan rare atau jarang ditemui boleh diperolehi. Kalau rindu masakan kampung bazar Ramadan juga solusi terbaik.

Bagaimanapun disebalik ‘keistimewaan ini janganlah ada pihak yang ‘merosakkan’ mood dengan mengabaikan atau memandang enteng soal penjagaan kerana ia melibatkan kesihatan dan nyawa seseorang.

Pengguna bayar ikut harga yang anda sendiri tetapkan. Kasihan ibu bapa yang membeli juadah di bazar pulang dengan makanan basi atau ‘dimasak’ atau ‘dibungkus’ dengan serangga.

Begitu juga dengan kisah scam baju raya, keterujaan seorang wanita melaram dengan baju idaman musnah dek individu tidak bertanggungjawab memperdaya golongan ‘terdesak’. Lain dibayar, baju T pula yang sampai depan pintu.

Janganlah ambil untung di atas kesengsaraan individu lain. Mereka berjimat demi mencari persalinan raya. Tanggungjawab anda sebagai peniaga besar.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN