fbpx
PENULIS bersama isteri dengan panorama Roman Theatre.

‘Kembara di Jordan sangat selamat, insiden scam pun tiada’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Saya dan isteri berpeluang mengembara ke Jordan melalui jalan darat dengan memandu dari Arab Saudi.

Perjalanan ini memberi kami pengalaman yang berharga dalam meneroka keindahan negara yang kaya dengan sejarah ini.

Salah satu kemudahan besar bagi rakyat Malaysia adalah visa percuma selama 30 hari untuk memasuki Jordan.

Mata wang yang digunakan ialah Jordanian Dinar (JD) dengan kadar tukaran semasa sekitar 1 JD bersamaan 5.32 Saudi Riyal (RM6.40).

Kami mendapati Jordan masih kurang mesra dengan sistem pembayaran tanpa tunai. Oleh itu, sediakan wang tunai yang mencukupi.

Proses dokumentasi di kastam dan imigresen sangat cepat serta efisien.

Pegawai bertugas serta polis di sempadan sangat membantu dan fasih berbahasa Inggeris. Ini menjadikan pengalaman melintasi sempadan lebih lancar daripada yang dijangka.

Kos penginapan di Jordan sangat berpatutan.

Kami menginap di beberapa hotel apartmen yang hanya berharga 40JD (RM249) untuk satu malam yang dilengkapi dengan kemudahan memasak, bilik mandi moden dan kelengkapan rumah yang selesa.

PENULIS bergambar bersama penjaga Makam Nabi Yusha’, Mohammed At Tamim.

Harga makanan juga sangat murah. Dengan hanya 50JD (RM312), kami dapat menikmati hidangan mencukupi untuk lima hari termasuk sekali-sekala menikmati makanan mewah.

Kami tidak menginap di tengah bandar Amman kerana akses yang terhad serta tambang teksi yang agak tinggi.

Sebaliknya, kami memilih hotel di sekitar bandar seperti di Wadi Al Seer dan Al Rawnaq.

Banyak hotel di kawasan ini menyediakan perkhidmatan shuttle ke pusat bandar yang menjadikan perjalanan lebih mudah dan menjimatkan.

Jordan terkenal dengan pelbagai tempat bersejarah terutama peninggalan Islam dan kisah para nabi.

Kebanyakan tempat ziarah ini boleh dikunjungi secara percuma. Antara lokasi yang memerlukan tiket masuk adalah Roman Theatre dan beberapa muzium nasional.

Kami juga berkesempatan mengunjungi Sungai Jordan untuk melihat sempadan Jordan-Palestin. Ia merupakan satu pengalaman yang unik dan menginsafkan.

Perjalanan dari Amman ke Laut Mati hanya mengambil masa satu jam. Kami mendapati tidak banyak tarikan di kawasan itu selain keunikan Laut Mati.

Oleh itu, satu malam sudah mencukupi untuk menikmati pengalaman terapung di perairannya.

Seterusnya, kami menuju ke Petra, salah satu keajaiban dunia yang benar-benar menakjubkan.

Lawatan ke Petra memerlukan tenaga dan masa kerana perlu mendaki ke kawasan itu yang mengambil masa lebih tiga jam.

Sehubungan itu, kami menyarankan sekurang-kurangnya dua malam untuk benar-benar menikmati keindahan Petra.

Bagi pelancong dari Malaysia yang ingin ke Jordan dengan penerbangan, waktu terbaik untuk berkunjung adalah antara Oktober hingga Disember serta Mac hingga Mei.

Musim sejuk kurang sesuai kerana Amman akan bersalji dan cuaca menjadi sangat sejuk serta kering.

Kami mendapati menyewa kenderaan merupakan cara terbaik untuk menjelajah Jordan.

Harga sewaan sekitar 10 hingga 25 JD (RM62 hingga RM 156) sehari, tetapi kos bahan bakar agak mahal iaitu 0.95 JD (RM5.92) seliter.

Namun, perjalanan ini tetap berbaloi kerana kebebasan untuk bergerak dan menikmati pemandangan yang luar biasa. Dari segi keselamatan, Jordan adalah destinasi yang sangat selamat.

Sepanjang perjalanan kami, tiada insiden penipuan atau scam yang membimbangkan.

Bagi peminat sejarah, kami menyarankan untuk menggabungkan lawatan ke Jordan, Arab Saudi dan Mesir untuk merasai pengalaman seolah-olah berada dalam pengembaraan Jejak Rasul dan Indiana Jones.

Jordan sememangnya destinasi yang penuh dengan keindahan, sejarah dan pengalaman yang tidak akan dilupakan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN