PRAKTIKAL, selamat dan berprestasi merupakan gambaran bagi Volvo XC40 B5 yang kini hadir dalam versi kemas kini untuk tahun 2025.
Model XC40 B5 terbaharu ini dilencanakan sebagai ‘Plus’ berbanding ‘Ultimate’ bagi versi sebelum ini.
Sesuai untuk pemanduan bandar bersama keluarga dengan ciri-ciri keselamatan dan kelestarian yang merupakan aspek ditekankan Volvo menjadikan XC40 sebagai pilihan terbaik.
Baru-baru ini, Volvo Car Malaysia telah memberi peluang kepada penulis untuk memandu uji XC40 B5 Plus selama beberapa hari.
Dengan konfigurasi lima tempat duduk, kenderaan utiliti sukan (SUV) kompak ini berdimensi panjang 4,440 milimeter (mm), 1,873mm (lebar) dan 1,652mm (tinggi).
Kenderaan ini dilengkapi dengan sistem hibrid ringkas ‘mild hybrid’ yang menggabungkan enjin petrol 2.0 liter turbo menghasilkan kuasa 249hp dan tork 350Nm.
Motor elektrik membantu menambah lagi kuasa 14hp dan tork 40Nm memberikan pengalaman pemanduan cekap melalui transmisi automatik Geartronic lapan kelajuan dengan pacuan semua roda (AWD).
Sepanjang pemanduan, penulis dapat merasakan penjimatan bahan api yang lebih rendah tanpa kompromi dari segi prestasi.

Dengan tangki penuh 54 liter, penulis bergerak dari Volvo Malaysia di Petaling Jaya sehingga ke Seremban dengan pemanduan sederhana dan kadangkala memecut di Lebuh Raya Utara Selatan.
Bacaan pada meter minyak tidak banyak berubah walaupun penulis telah menempuh perjalanan lebih 100 kilometer termasuk memandu di dalam kawasan bandar.
Penulis juga dapat merasakan kestabilan jentera ini dan apa yang membuat pemanduan lebih yakin ialah ciri tali pinggang keledar jenama automatif Sweden ini yang kemas dan selamat.
Bagi memudahkan pemanduan, tiada mod normal, eco atau sport ditawarkan sebaliknya hanya tambahan off-road untuk memandu di permukaan jalan tidak rata atau berbukit.
Jentera ini mampu memecut dari pegun ke 100km/j dalam hanya 6.3 saat dengan kelajuan maksimum 180km/j, dengan penghantaran kuasa begitu lancar dan berkadar kesenyapan bunyi (NVH) yang sangat baik walaupun melakukan pecutan.
Menariknya, model baharu ini menampilkan ciri-ciri baharu dan teknologi terkini seperti lampu piksel dengan lampu pintar di bahagian luarnya menyesuaikan tahap kecerahan secara automatik untuk memastikan penglibatan maksimum tanpa mengganggu pengguna jalan raya lain.
Selain itu, model ini datang dengan rim aloi 19 inci dengan rekaan aerodinamik yang dapat meningkatkan kecekapan bahan api.

Volvo XC40 B5 Plus 2025 masih dikuasakan oleh sistem infotainment Automotif Android yang menawarkan integrasi penuh dengan Google Assistant, Google Maps dan Google Play Store.
Lima tahun perkhidmatan digital percuma turut ditawarkam kepada pemiliknya bagi menikmati akses Volvo Cars dan aplikasi lain.
Dari segi rekaan, Volvo menggunakan pendekatan minimalis tetapi masih ada elemen ‘wow’ pada XC40 B5 Plus ini yang tampak elegan dan mahal.
Ia nampak menarik dengan signatur utama sebuah Volvo iaitu lampu hadapan dengan lampu nyalaan siang LED berbentuk ‘Tukul Thor’.
Meninjau ke ruang kabin, rekaannya sangat ‘simple’ dan mudah diakses sama ada secara manual atau melalui paparan skrin.
Bagi memberi keselesaan, kenderaan ini turut dilengkapi sistem penapis udara termaju bagi menghalang sehingga 80 peratus zarah berbahaya memasuki kabin selain sistem pembesar suara premium Harman Kardon.
Aspek keselamatan sentiasa menjadi keutamaan Volvo apabila XC40 B5 Plus hadir dengan brek kecemasan autonomi depan dan belakang, amaran trafik silang dengan brek automatik, informasi titik buta dengan bantuan steering dan pandangan sekeliling 360 darjah.
XC40 B5 Plus dijual pada harga RM278,888 atas jalan raya tanpa insurans dengan pilihan warna baharu Cloud Blue dan warna sedia ada Crystal White, Onyx Black, Sage Green dan Silver Dawn.
Kesimpulannya, Volvo XC40 B5 Plus sememangnya menarik dengan ciri-ciri keselamatannya yang unggul dan teknologi terkini.
Namun, cabarannya terletak pada bagaimana ia mampu bersaing dengan jenama lain yang turut menawarkan SUV dengan ciri serupa pada harga yang kompetitif. Penulis yakin pelanggan yang telah mencuba Volvo akan setia dengan jenama ini yang ada ‘value’ tersendiri dengan gaya sederhana tetapi elegan.














