Baru-baru ini, tular di media sosial tentang individu yang membuat siaran langsung (live) di TikTok ketika menunaikan solat tarawih di sebuah masjid.
Lagi mengundang kecaman netizen, apabila seorang wanita dilihat memegang dan melihat telefon bimbitnya dalam tempoh yang agak lama.
Tidak pasti apa motif dan mesej yang ingin disampaikan individu itu bertindak demikian, namun penulis pasti sedikit sebanyak perlakuannya menjejaskan imej Islam serta individu lain yang berada di masjid berkenaan.
Tidak dinafikan bahawa media sosial boleh menjadi platform dakwah yang berkesan, tetapi perlu ada batasnya. Perkara yang bersifat peribadi seperti solat sepatutnya tidak dijadikan bahan tontonan untuk meraih populariti di media sosial.
Fenomena seperti ini menimbulkan persoalan, adakah kita benar-benar mengejar ibadah atau lebih mengutamakan ‘content’ untuk tontonan umum di bulan Ramadan yang suci ini?
Secara telusnya, perbuatan individu itu juga dilihat mengganggu mereka yang berada di sekeliling yang mahu fokus mengejar ibadah selain melampaui batas-batas termasuk privasi orang lain.
Menurut Mufti Pulau Pinang, Prof Madya Datuk Dr. Mohd. Sukki Othman, dalam Islam, khusyuk adalah elemen penting dalam solat, seperti yang disebut dalam Surah Al-Mu’minun (23:1-2) iaitu “Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman, Iaitu mereka yang khusyuk dalam solatnya”.
“Jika seseorang melakukan perbuatan yang mengganggu fokus solat, ini boleh menjejaskan kesempurnaan ibadah. Jika sekadar meletakkan telefon tanpa menyentuhnya dan tidak mengganggu solat, maka hukumnya tidak membatalkan solat tetapi boleh mengurangkan kekhusyukan.
“Jika tangan digunakan untuk memegang, melihat komen, atau berinteraksi dengan penonton, ini adalah membatalkan solat, kerana ia dikira sebagai perbuatan yang bercanggah dengan solat, dan ‘amal kathir (pergerakan banyak yang tidak berkaitan dengan solat),” ujarnya ketika dihubungi Kosmo!
Sehubungan itu, katanya, sebagai umat Islam, kita perlu menjaga adab serta tatasusila ketika beribadah.
“Sekiranya seseorang membuat ‘live’ semasa solat hingga mengganggu niat dan khusyuk, kerana fokusnya mungkin terbahagi antara solat dan penonton.
“Perbuatan ini juga boleh menimbulkan fitnah, seolah-olah menjadikan ibadah sebagai tontonan umum, sedangkan solat sepatutnya dilakukan dengan penuh keikhlasan kepada Allah,” ujarnya lagi.
Beliau berkata, dalam Mazhab Syafie, perbuatan yang membatalkan solat termasuklah ‘amal kathir, melakukan sesuatu yang tidak ada kaitan dengan solat (seperti membaca
komen atau menyentuh telefon secara aktif).
“Secara umum, solat masih sah jika tidak ada pergerakan banyak, dan tidak melibatkan interaksi dengan orang lain.
“Sebaiknya elakkan, kerana solat adalah urusan peribadi antara hamba dan Allah, bukan untuk tontonan umum,” katanya.
















