fbpx
GAMBAR kenangan Allahyarham Mohamad Fahmi (dua dari kanan) ketika bercuti bersama keluarganya di Kuala Terengganu sebelum ini. – IHSAN KELUARGA

Keluarga mangsa gummy sambut Ramadan tanpa anak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEBERANG PERAI – Bapa kepada kanak-kanak lelaki ber­usia 10 tahun yang meninggal dunia akibat tercekik gula-gula gummy eyeball masih tidak dapat menyembunyikan rasa sedih atas kematian anaknya itu lebih-lebih lagi ketika umat Islam mula menyambut Ramadan hari ini.

Mohammad Fakhruddin Mohamad Fikri, 35, berkata, dia dan isteri, Nuraini Mohamad Isa, 37, juga sentiasa terba­yangkan wajah dan telatah Mohamad Fahmi Hafiz Mohammad Fakhruddin meskipun sudah lebih seminggu arwah meninggalkan dunia.

Malah katanya, dia pernah bermimpi berjumpa arwah di­sebabkan terlalu rindu kepada anak sulungnya itu.

“Kesedihan dan rasa rindu yang mendalam terhadap Mohamad Fahmi tidak dapat diungkap dengan kata-kata me­lainkan hanya air mata berjurai setiap kali menyebut nama arwah.

“Rasa sunyi dan sedih yang sa­ngat berat, lebih-lebih lagi esok (hari ini) kita mula menyambut bulan Ramadan. Arwah ada beritahu yang dia nak puasa penuh tahun ini,” kata Mohammad Fakhruddin ketika dihubungi Kos­mo! Ahad semalam.

Menurut penghantar makanan itu, kenangan paling dirindukan ketika Ramadan ialah waktu berbuka puasa memandangkan arwah begitu menggemari masakan ibunya ia­itu ayam goreng dan gulai ayam untuk dimakan bersama nasi putih serta kicap.

“Telatahnya yang ceria dan banyak cakap setiap kali waktu berbuka juga membuat kami sukar untuk lupakan saat manis bersamanya. Sebut sahaja namanya, air mata saya sudah berjurai. Ibunya juga menangis setiap pagi.

“Ramadan kali ini kami sedaya upaya tidak mahu sediakan lauk kegemarannya lagi, kami tidak mahu terlalu sedih,” katanya.

Mohammad Fakhruddin berkata, dia dan isteri bersama anak bongsunya akan meluangkan masa setiap hari untuk menziarahi pusara arwah.

“Inilah pengubat rindu kami terhadapnya (ziarah pusara). Malah, dua hari lalu dia hadir dalam mimpi saya, mungkin sebab saya terlalu rindukannya.

“Baba jangan lupa dekat Fahmi… itu yang dia cakap dalam mimpi sebelum saya terjaga dari tidur,” katanya.

Beliau berkata, untuk Aidilfitri tahun ini, dia bercadang membeli sepasang baju raya untuk arwah sebagai ingatan.

“Memang setiap kali raya kami akan pakai warna sedondon. Arwah amat menggemari warna hijau dan merah,” ujarnya.

Bagaimanapun, dia yang kini menghidap gout pada kaki memberitahu, mereka reda dengan pemergian arwah meskipun masih terkejut akan kejadian itu.

Terdahulu, Mohamad Fahmi menghembus nafas terakhir di sisi ibu bapanya semasa me­nerima rawatan di Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU) Hospital Pulau Pinang (HPP) pada pukul 11 malam, 20 Februari lalu.

Sebelum itu, Mohamad Fahmi dilaporkan kritikal di HPP selepas dipercayai tercekik gula-gula gummy berbentuk mata.

Mangsa yang merupakan murid tahun empat Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Dua di Butterworth itu dipercayai membeli dua biji gula-gula kenyal tersebut sebelum sesi persekolahan Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) pada pukul 2.30 petang, 18 Februari lalu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN