Jika ikut kalendar dan jangkaan, umat Islam di negara ini akan mula menyambut 1 Ramadan pada Ahad ini.
Maknanya bermula minggu depan kita bolehlah menjengah bazar Ramadan, kuih-muih seperti tepung pelita dan kuih manis lain akan menjadi rebutan ramai.
Mengenai harga makanan di bazar Ramadan tahun ini, kita jangan buat-buat terkejut pula kerana bahan utama membuat kuih terutama santan memang telah naik harga sejak dua bulan lalu.
Selain santan, bahan mentah seperti kelapa juga dilaporkan sukar diperolehi dan terpaksa diimport dari Indonesia.
Pokok kelapa di negara ini didakwa dalam musim melawas atau tidak berbuah menyebabkan kita terpaksa mengambil bekalan dari Indonesia.
Kalau sudah ‘barang’ import harganya bukan lagi RM4 sekilogram. Harga santan segera pun sudah naik sehingga RM13 sekotak.
Jika tepung pelita daripada 50 sen sebiji tidak mustahil akan naik menjadi RM1 sebiji minggu depan.
Harga biskut raya juga dijangka naik mendadak apabila bahan import seperti koko, tepung dan mentega juga naik harga.
Bukan kita tiada bahan tempatan tetapi bahan tempatan juga tidak jauh beza dengan bahan import, harga lebih kurang mahal juga walaupun made in Malaysia.
Selain harga makanan, dijangka tidak kurang juga isu di bazar Ramadan setiap tahun adalah mengenai peniaga jadian.
Demi mengaut untung setiap tahun, akan ada peniaga jadian yang tidak tahu berniaga tiba-tiba membuka gerai di bazar Ramadan.
Pelbagailah posting tular seperti isu karipap oksigen (tanpa inti), roti john telur bawang (tanpa daging atau ayam) dan sebagainya seperti tahun-tahun lalu di media sosial.
Nasihat penulis, kita sebagai pengguna kenalah bijak, kita beli juadah berbuka dari premis yang biasa kita kunjungi.
Jangan main-main berniaga sambil lewa sekarang kerana pelbagai platform media sosial sedang memerhati anda.
Pembeli pula, jangan cuba-cuba nasib membeli kedai yang periuk belanga ‘masih cerah’ sudah tentu itu peniaga jadian yang muncul setiap kali Ramadan sahaja.
Mereka berniaga untuk dapat duit raya sahaja bukan ikhlas membuat makanan untuk dijual. Ambillah pengajaran menjadi pengguna yang bijak membeli makanan demi duit poket kita.















