KEINDAHAN estetik bulu burung kakak tua menjadikannya sebagai salah satu haiwan peliharaan kegemaran ramai.
Selain kecantikan bulu, burung kakak tua juga terkenal dengan kecerdasan dan kemampuannya untuk meniru suara manusia.
Atas dasar itu, Aleesya Laxmi memilih menjaga empat burung kakak tua pelbagai jenis sebagai hobi bagi mengisi masa lapangnya .
Burung-burung tersebut diberi nama Viggo yang merupakan baka Catalina Macaw; Marley dan Jerry (Blue and Gold Macaw) serta Modjo (Hahns Macaw).
Mula memelihara burung kakak tua sejak empat tahun lalu, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Convent Klang, Selangor itu menghabiskan banyak masa menelaah tentang haiwan tersebut bagi memahami tingkah lakunya.
“Cabaran paling besar menjaga burung kakak tua adalah untuk mendapatkan kepercayaannya kerana ia mudah takut.
“Ibu bapa saya beli buku khas supaya kami sekeluarga boleh memahami tentang cara terbaik untuk mendekati burung ini.
“Kami membeli burung ini secara berperingkat. Jadi, saya perlu memastikan burung-burung ini boleh sesuaikan diri antara satu sama lain,” katanya kepada K-Remaja.
Untuk pengetahuan, terdapat lebih daripada 350 spesies burung kakak tua di seluruh dunia.
Beberapa spesies yang popular termasuk Macaw, Cockatoo dan African Grey Parrot.
Burung kakak tua mempunyai jangka hayat yang panjang. Sesetengah spesies boleh hidup lebih 50 tahun, malah ada yang mencapai usia lebih 80 tahun sekiranya dijaga dengan baik.
Walaupun burung kakak tua sangat mesra dengan manusia, namun ia boleh menjadi agak teritorial terutama jika berasa terancam.
Oleh itu, proses menyesuaikan diri burung kakak tua dengan persekitaran memerlukan kesabaran yang tinggi dan ia mengambil masa lama.

Namun, usaha yang dilakukan sangat berbaloi apabila burung-burung itu mula menari, menyanyi dan memberikan hiburan kepada keluarga Aleesya.
“Jerry paling rapat dengan saya. Salah satu kenangan manis adalah apabila Jerry mula meniru saya bersin dan batuk.
“Ia sangat lucu dan membuatkan saya lebih teruja untuk terus menjaga burung ini,” katanya.
Bukan sahaja memberi kasih sayang, remaja yang bercita-cita menjadi doktor haiwan itu juga peka dengan diet burung kakak tua miliknya.
Burung tersebut diberi makanan sebanyak empat kali sehari dengan diet seimbang seperti sayur-sayuran, buah-buahan dan kekacang.
Selain itu, Aleesya menambah dedak yang diimport dari Jerman ke dalam diet burung peliharaannya agar kesihatan dan kecantikan bulu dapat dikekalkan.
Tidak terhenti di situ, keluarga Aleesya turut menyediakan bilik khas yang penuh dengan permainan untuk burung bermain.
Setelah penat bermain, burung-burung tersebut akan dipindahkan ke dalam sangkar besar di luar rumah.
Sesekali, burung-burung jagaan keluarga Aleesya dibawa ke Bukit Antarabangsa untuk dibiarkan terbang bebas di udara sebagai salah satu senaman.
Katanya, terdapat kebimbangan sekiranya burung-burung tersebut hilang ketika terbang bebas di udara.
Disebabkan itu, mereka menggunakan sistem posisi sejagat (GPS) untuk menjejaki kedudukan burung-burung berkenaan.
“Kami memasang alat GPS pada burung, selalunya ia tidak akan terbang jauh daripada kedudukan kami.
“GPS tersebut membolehkan kami memantau kedudukan burung dengan tepat dan memastikan tidak tersesat atau hilang semasa sesi terbang bebas di luar,” katanya.















