fbpx
Gewang minnow sangat sesuai untuk memancing sebarau yang sedang memburu di air yang berarus laju.

Pesta sebarau ketika monsun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Banjir yang melanda Kelantan pada hujung November tahun lalu turut membawa hikmah di sebalik­nya apabila ‘si serigala sungai’ yang selama ini merajai Sungai Kelantan menjelajah ke kawasan kampung melalui limpahan air banjir.

Kelebihan kepada saya apabila Pasir Mas merupakan kampung halaman isteri dan saya telah mengenali beberapa orang pemancing di sana. Hasil maklumat mereka, saya telah bertolak ke kampung ketika banjir baru bermula.

Lokasi
Air sungai Kelantan yang meningkat naik akan memasuki kawasan kampung melalui anak sungai, tali air dan parit yang berhubung dengan sungai. Ramai peman­cing akan menunggu di kawasan strategik laluan ikan sebarau, contohnya pintu tali air, kolong air, persimpangan tali air atau parit berarus.

Mereka sangat mahir dengan selok-belok laluan kampung. Ada sahaja laluan pintas dan alternatif ke lokasi yang dituju jika laluan biasa telah ditenggelami air.

Ladang getah dan kebun milik penduduk banyak tenggelam, namun paritnya yang berhubung dengan sungai merupakan kawasan strategik mengilat sebarau.

Apa yang paling di luar jangkaan saya, jalan raya yang dilimpahi air juga menjadi pilihan lokasi kami untuk mengilat sebarau kerana pertembungan air limpahan banjir berarus laju dengan air tenang di seberang jalan menjadi lapangan permainan sebarau.

Masa terbaik
Masa terbaik untuk mengilat sebarau ketika musim monsun adalah sewaktu air sungai baru melimpah dan semasa air banjir kembali surut.

Waktu ini parameter mengilat boleh ditumpukan ke kawasan yang lebih spesifik seperti pintu tali air, kolong air, persimpangan tali air atau parit berarus kerana sebarau hanya memburu di area tersebut.

Awal pagi menjadi waktu pilihan untuk kami mengilat sebarau, walaupun kedinginan hujan dan keheningan pagi tidak menjadi penghalang kepada kami.

Semangat berkobar-kobar melihat gambar hasil mengilat kawan-kawan sebelum ini menjadi pemanas kedinginan kami meredah hujan monsun.

Selain awal pagi, waktu petang juga menjadi pilihan kami. Namun waktu petang, masa memancing agak terhad kerana apabila mentari condong di ufuk barat, sebarau didapati semakin kurang berselera membaham gewang.

Gewang
Sebarau spesies karnivor yang bersifat memburu, sering menjadikan ikan-ikan kecil sebagai diet utamanya. Pemilihan gewang yang sesuai menjadi salah satu faktor kejayaan mengilat sebarau match the hatch (padankan yang serupa) adalah istilah yang paling sesuai.

Apabila sudah mengetahui diet utama sebarau, maka gewang minnow yang beraksi seolah-olah anak ikan lampam dan seluang menjadi pilihan kami. Panjang gewang 50 hingga 70 milimeter (mm) adalah saiz yang terbukti menjadi.

Baju hujan diperlukan ketika memancing dalam suasana kedinginan Monsun Timur Laut.

Menggunakan mata tiga yang asal pada gewang adalah tidak sesuai dan dengan mudah akan ‘dikunyah’ oleh rahang sebarau yang keras. Sebaiknya, mata tiga original tersebut ditukar kepada mata tiga yang tajam dengan kekuatan 4X adalah pilihan yang tepat agar tidak berputih mata.

Utamakan keselamatan
Memancing sebarau dalam kesejukan hujan dan meranduk banjir monsun tidak semudah disangka.

Landskap yang sebelum ini jelas memperlihatkan kedudukan jalan, longkang, titi atau parit sudah tidak kelihatan lagi kerana semuanya telah ditenggelami air banjir.

Ketika itu, kemahiran dan pengetahuan pemancing tempatan (guide) sangat diperlukan, hanya mereka yang lebih tahu kedudukan tepat padang pancing mereka.

Kebiasaannya, kami tidak berdiri terlalu hampir dengan tebing sungai. Ini kerana, arus sungai yang laju berbahaya kepada pemancing. Tebing sungai yang licin dan tidak kukuh juga boleh menjadi ancaman tidak diduga.

Baju hujan sangat penting, seharian memancing dalam curahan hujan monsun, sejuknya boleh ‘menyucuk’ ke tulang kering.

Kasut yang sesuai dengan ta­­paknya yang mencengkam sangat diperlukan agar pemancing tidak mudah tergelincir ketika memijak permukaan licin.

Beg kalis air (dry bag) juga diperlukan untuk men­yimpan peralatan peribadi se­perti dompet dan telefon pintar agar tidak basah.

Kesimpulan
Saya telah memancing ikan sebarau di Bersia dan Sungai Bernam di Perak; Sungai Selangor, Kuala Kubu Bharu, Jenderam di Selangor, Pusat Rekreasi Air di Putrajaya dan beberapa kawasan lagi di Semenanjung Malaysia.

Namun, memancing sebarau sambil meranduk banjir di bawah curahan hujan monsun di Pasir Mas memberi pengalaman yang cukup berbeza kepada saya.

Selama ini, saya hanya memancing ikan sebarau di sungai, tali air atau tasik.

Namun apabila di lokasi banjir ketika monsun, saya dapat pengalaman memancing sebarau di tepi ladang getah, kebun sayur, tepi jalan dan longkang yang bersambung dengan sungai.

Akhir sekali, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Team Lubuk Jong Angler kerana memberi peluang kepada saya untuk bersama-sama mengilat sebarau ketika banjir monsun.

Ia satu pengalaman yang sangat bermakna dan berharga kepada saya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN