fbpx
SAN SHIEN berharap agar usahanya menjadi inspirasi buat anak muda untuk menjadi versi terbaik diri mereka.

San Shien ikon kepimpinan, perpaduan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

WAJAH karismatik pemuda berusia 25 tahun itu sering terpampang di dada-dada akhbar dan kaca televisyen, dek kerana pencapaian demi pencapaian yang diraih atas sumbangannya kepada negara.

Pemuda berketurunan Cina yang begitu fasih bertutur dalam bahasa Melayu itu juga kerap kali menggapai kejayaan menakjubkan dalam bidang bahasa serta kepimpinan, melayakkan dia diangkat sebagai ikon golongan belia.

Pernah terpilih mewakili universiti dan negara pada Minggu Perundangan Hong Kong 2022, pemuda itu juga pernah dinobatkan Ikon Siswa Johor Terbaik dalam Kepimpinan daripada Kerajaan Negeri Johor.

Baru-baru ini, Lim San Shien yang juga merupakan seorang Duta Perpaduan Johor menerima satu lagi pengiktirafan cukup bermakna apabila dinobatkan sebagai Ikon Bahasa Melayu Negara yang terkini oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Penganugerahan sebagai ikon negara begitu besar maknanya buat anak jati Johor Bahru, Johor itu dan seiring hasratnya untuk mengantarabangsakan bahasa kebangsaan itu.

Ujar San Shien, dia tentunya bersyukur apabila diangkat sebagai Ikon Bahasa Melayu Negara, memandangkan minat dan penglibatannya dalam kebahasaan bermula sudah lama.

“Ia bermula sejak di bangku sekolah, apabila saya memenangi hadiah Pertandingan Kuiz Bahasa Melayu daerah Johor Bahru, selain aktif dan menyerlah dalam pengucapan awam di sekolah dan juga matrikulasi.

“Penglibatan sedemikian juga melayakkan saya menang Pertandingan Pendebat Terbaik Liga Piala Debat Universiti Malaya (UM) serta dipilih sebagai pendebat belia Kerajaan di Parlimen Malaysia,” kata San Shien mengimbau kembali antara pencapaian yang berjaya diraihnya.

Tidak hairanlah, penguasaan bahasa Melayunya cukup baik sehingga kini.

Selain keterlibatan dalam penguasaan bahasa Melayu, San Shien menyerlah dalam aktiviti kepimpinan, bahkan kerap diundang untuk memberi pandangan dan buah fikiran dalam pelbagai rancangan televisyen antaranya Selamat Pagi Malaysia, Agenda AWANI dan Berita RTM.

“Bagi aspek kepimpinan pula, bapa saudara saya jadi inspirasi kerana dia cukup aktif dalam aktiviti kemasyarakatan, bahkan turut membuka Pusat Pemulihan dalam Komuniti (PDK) untuk orang memerlukan, selain giat menyantuni masyarakat pelbagai kaum dan juga agama dengan ikhlas. Ini benar-benar menyentuh hati saya,” katanya.

Berkongsi dengan K-Remaja, San Shien berkata, pengiktirafan sebagai pemimpin belia dengan tanggungjawab besar tentunya datang bersama pelbagai cabaran.

Selaku pemimpin, dia harus sentiasa tampil ke hadapan untuk menyelesaikan pelbagai masalah.

“Kita hidup dalam dunia yang begitu dinamik dan cabaran yang dihadapi adalah untuk pastikan suara keramat masyarakat diangkat, kemandirian ekonomi belia, peranan belia dalam masyarakat ditingkatkan dan belia dapat memanfaatkan teknologi kini untuk kehidupan.

“Mengikut Laporan Risiko Global (Global Risk Report) yang dihasilkan oleh World Economic Forum, cabaran konteks global perlu tertumpu kepada geoekonomi, isu perubahan iklim serta kesan teknologi yang canggih terhadap manusia dan sebagainya.

Sebelum ini San Shien telah diangkat sebagai Duta Perpaduan Johor di peringkat negeri sebelum dinobatkan Ikon Bahasa Melayu Negara.

“Justeru sebagai pemimpin belia, adalah sangat mustahak untuk saya menganjurkan program dan menjana idea kreatif bagi menangani isu tersebut agar negara sejahtera dan maju,” katanya yang merupakan bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ismail, Johor Bahru dan graduan Undang-Undang dari Universiti Malaya (UM).

San Shien berkata, dalam konteks perpaduan belia pula, dia harus sentiasa berusaha untuk menyatupadukan rakyat dengan memberikan mereka pendedahan dan literasi terhadap Perlembagaan Persekutuan, Rukun Negara sebagai asas amalan hidup, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, kefahaman budaya serta adat resam pelbagai kaum sebab tak kenal maka tak cinta.

Ditanya tentang inisiatif yang dibuat untuk membangunkan potensi belia di Malaysia, San Shien berkata, peluang dijemput sebagai penceramah dan panel di program ceramah kepimpinan di agensi kerajaan, universiti dan sekolah-sekolah adalah caranya untuk berkongsi idea serta pandangan membabitkan isu-isu belia.

Baginya, dengan cara itu, dia boleh menyantuni dan melatih belia secara individu, persatuan dan organisasi untuk mengenal pasti kekuatan dan potensi mereka.

Harapan San Shien agar perkongsian dan usahanya itu boleh dijadikan inspirasi buat anak muda untuk menjadi versi terbaik diri mereka.

“Saya kerap berkongsi kisah menarik dan pencapaian membanggakan seperti menerima pelantikan sebagai Duta Perpaduan Kerajaan, mendapat anugerah Ikon Siswa Johor Terbaik dalam

Kepimpinan dan Ikon Bahasa Negara di media sosial sebagai motivasi, inspirasi dan pembakar semangat buat belia untuk terus menggapai kejayaan dalam kepakaran masing-masing,” katanya.

Sempat menitipkan pesan buat anak muda yang mahu menjadi pemimpin sepertinya, San Shien berharap agar mereka sentiasa melengkapkan diri dengan ilmu dan kepakaran yang diperlukan, selain beranggapan bahawa mereka perlu sentiasa aktif bersuara dan bekerja.

“Mereka juga perlu banyak membaca, berkongsi ilmu dan pendapat, banyakkan berfikir dan terlibat dalam perbincangan ilmiah. Saya juga melihat mereka yang mahu menjadi pemimpin perlu ada jati diri, nilai murni dan semangat patriotisme yang menjadi elemen penting untuk terus berbakti buat masyarakat dan mengharumkan tanah air,” katanya.

Bertitik tolak dari situ juga, San Shien semakin kerap menjadi penceramah dan moderator bagi pelbagai lagi program lain, menjadikan dia belia yang cukup disegani.

Bercakap tentang individu yang mendorong sifat kepimpinan dan amalan perpaduan dalam diri, San Shien berkata, ahli keluarganya menjadi contoh terbaik yang diteladani.

“Bagi perpaduan, ibu, bapa dan nenek adalah individu yang menunjukkan contoh yang cemerlang tentang konsep perpaduan kepada saya.

“Ukhuwah bersama jiran tetangga pelbagai kaum dan kesudian mereka melayan tetamu bak keluarga sendiri menjadikan saya selesa berkawan dengan semua,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN