PERALIHAN masa membuatkan fungsi telefon bimbit yang dahulu digunakan sekadar untuk membuat panggilan dan kiriman mesej kini sudah berdepan dengan pelbagai transformasi.
Tidak dinafikan setiap daripada kita pasti mempunyai kenangan dengan gajet pertama atau peranti teknologi yang menjadi kegemaran suatu ketika dahulu.
Begitu juga dengan pelakon dan penyanyi Isyariana atau nama lengkapnya Isyariana Che Azmi, 35, saat berkongsi cerita tentang memori menggunakan telefon bimbit jenis Nokia 3310 ketika usia remaja.
“Saya mula membeli telefon sendiri ketika berusia 13 tahun dan telefon pertama ialah Nokia 3310. Bukan mudah untuk membeli telefon, jadi saya bekerja sambilan di kedai makan dan hasil duit yang diterima dikumpul untuk membeli telefon.
“Ketika itu telefon Nokia 3310 sudah dianggap canggih dan menjadi trend dalam kalangan remaja. Tidak dinafikan saya rasa sangat istimewa kerana membeli telefon itu dengan hasil titik peluh sendiri,” katanya kepada K-Tekno.
Telefon tersebut turut meninggalkan kenangan indah buat pelakon filem Saka Perawan itu ketika bersama rakan-rakan terutama era kegemilangan nada dering monofonik mendunia sekitar 20 tahun lalu.
Kata Isyariana, disebabkan simbol kod nada dering rumit telah membuka peluang buatnya untuk menjana pendapatan sampingan dengan cara mengambil upah untuk menaip di telefon.
“Kod nada dering itu selalunya boleh didapati di majalah dan sebahagiannya agak rumit dan perlu dilakukan dengan teliti. Jadi ada antara kawan-kawan yang tidak mahu melakukannya, tetapi menginginkan nada dering menarik.
“Oleh itu, mereka akan mengupah saya dan ini secara tidak langsung dapat juga duit lebih. Paling kerap apabila menjelang raya kerana masing-masing menginginkan nada dering menarik,” ujarnya.
Selain itu, apa yang tidak dapat dilupakan saat menggunakan telefon berkenaan apabila kiriman mesej yang menarik akan disimpan kerana kapasiti terhad.
“Maklum saja telefon dahulu tidak memiliki ruang memori yang besar seperti sekarang. Jadi apabila ada mesej yang comel dan menarik, saya akan simpan.
“Disebabkan itu mesej yang dirasakan tidak penting akan dipadam. Kadang-kadang perlu juga padam sebab memori penuh,” katanya sambil berseloroh.
Kira-kira dua tahun menggunakan telefon itu, Isyariana kemudian beralih kepada Nokia 8250 (Butterfly) sebelum menggunakan Motorola V3 yang juga menjadi tarikan pada waktu itu.















