PEMODENAN sektor pertanian melalui teknologi digital merupakan langkah yang dilihat berupaya meningkatkan daya saing dan produktiviti serta mengukuhkan keterjaminan makanan negara.
Langkah ini juga selaras dengan pelantikan agensi peneraju ekonomi digital negara di bawah Kementerian Digital iaitu Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) sebagai Pengesah Teknologi Strategik oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).
Dalam usaha untuk mencapai hasrat itu, MDEC telah menganjurkan Jelajah Malaysia Digital (JMD) @Kedah yang berteraskan kepada pengadaptasian kecerdasan buatan (AI) melalui inisiatif Malaysia Digital Agriculture Technology (Digital AgTech).
Menurut Menteri Digital, Gobind Singh Deo, Program JMD @Kedah merupakan sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan untuk merancakkan ekosistem digital di seluruh negara.
“Inisiatif ini selari dengan sasaran meningkatkan sumbangan ekonomi digital kepada 25.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) menjelang 2025 serta menyokong usaha mewujudkan lebih 500,000 pekerjaan baharu.
“Transformasi digital dalam sektor pertanian merupakan salah satu fokus kerajaan selaras dengan agenda yang digariskan dalam Dasar Agromakanan Negara (DAN 2.0), Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan Negara, serta inisiatif di bawah Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian Keempat Negara (MED4IRN).

“Bagi memastikan sektor ini berkembang secara mampan, kerajaan akan terus memperkukuhkan kerjasama erat di antara Kementerian Digital, KPKM, Kementerian Ekonomi dan agensi-agensi berkaitan,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian JMD @Kedah di Ayer Hitam, Kedah baru-baru ini.
Tambahnya, MDEC selaku agensi pelaksana Digital AgTech, memainkan peranan utama dalam memastikan teknologi digital yang dibangunkan oleh rakan teknologi dapat memberi manfaat kepada usahawan tani agar dapat memperkukuhkan kecekapan sektor pertanian.
Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), KPKM, Datuk Azah Hanim Ahmad; Naib Presiden Kanan MDEC, Datuk Ts. Fadzli Abdul Wahit dan pegawai kanan daripada KPKM serta Jabatan Perikanan Malaysia (DOF).
Digital AgTech telah dilancarkan pada November 2023 dan sehingga kini, lebih 600 sistem Digital AgTech telah dilaksanakan di seluruh negara, manakala sebanyak 30,000 usahawan tani telah menerima latihan untuk mengadaptasi Internet Kebendaan (IoT) dan AI dalam operasi harian.
Melalui inisiatif ini juga, sebanyak 40 sistem Digital AgTech telah dilaksanakan di seluruh negeri Kedah meliputi kesemua sub-sektor utama pertanian iaitu tanaman, ternakan dan akuakultur pada tahun 2024.
“Selain itu, 15 projek tambahan Digital AgTech berteraskan IoT dan AI dengan anggaran nilai melebihi RM300,000 juga akan dilaksanakan pada tahun 2025 untuk menggiatkan teknologi digital dalam sektor pertanian di negeri Kedah.
“Inisiatif Digital AgTech yang merentasi kesemua sub-sektor pertanian utama di negara kita, termasuk tanaman, ternakan dan perikanan atau akuakultur membantu memperkasakan operasi pertanian melalui adaptasi teknologi pertanian digital yang berasaskan data masa nyata untuk meningkatkan produktiviti, pendapatan dan mengurangkan kos operasi keseluruhan dalam usaha menangani isu keselamatan makanan yang dipacu oleh penerapan digital,” ujarnya.
Kongsinya lagi, antara keberhasilan memberangsangkan yang telah dicapai termasuk peningkatan produktiviti sehingga 20 peratus, peningkatan pendapatan sehingga 20 peratus serta pengurangan kos operasi sehingga 30 peratus ke arah memangkin transformasi digital dalam sektor pertanian dan mengukuhkan keterjaminan makanan negara.
“Digital AgTech turut memberi manfaat yang menggalakan kepada komuniti B40 serta menarik lebih ramai penyertaan golongan belia dengan lebih 50 peratus peserta berusia di bawah 40 tahun dan potensi menjana pendapatan tambahan sehingga RM10,000 setahun melalui adaptasi teknologi digital dalam sektor pertanian di negara ini.
“JMD @Kedah merangkumi lawatan tapak ke fasiliti akuakultur berteknologi AI, sesi perkongsian impak keberhasilan pendigitalan dalam pertanian dan sesi libat urus antara usahawan tani bersama pemegang taruh industri bagi membincangkan cabaran serta peluang dalam ekosistem Digital AgTech,” tuturnya.














