fbpx
RIBUAN lampu LED bergemerlapan di laman berkeluasan 4.9 hektar ini.

Gemerlapan lampu estetik hiasi Bukit Jalil

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SAAT melangkah masuk ke Luna Lights Wonderland, suasana malam di Bukit Jalil serta-merta berubah menjadi dunia fantasi yang dipenuhi cahaya berwarna-warni. 

Ribuan lampu diod pemancar cahaya (LED) bergemerlapan di laman berkeluasan 12.3 ekar (4.9 hektar) itu mencipta panorama menakjubkan, sekali gus menarik ramai pengunjung dari dalam dan luar negara. 

Bertemakan alam semula jadi dengan unsur-unsur magika, kebanyakan hiasan lampu memaparkan pencahayaan dengan rekaan flora dan fauna. 

Pengasas Luna Lights Wonderland, Mark Tan berkata, penganjuran pameran lampu secara besar-besaran itu mesra keluarga dan boleh dinikmati oleh masyarakat daripada pelbagai latar belakang. 

“Kami terinspirasi dengan bagaimana seni susunan lampu dapat membawa kegembiraan kepada orang ramai tanpa mengira latar belakang mereka. 

“Dengan harga masuk serendah RM20 untuk individu dewasa, pengunjung boleh berjalan di sepanjang pameran bersama keluarga selama yang mereka mahu,” katanya. 

Luna Lights Wonderland Malaysia kini sedang menjelajah 12 negeri di seluruh negara dan pameran di Bukit Jalil, Kuala Lumpur berlangsung bermula 7 Januari sehingga 23 Februari. 

Terdapat tujuh tema pameran lampu yang boleh dinikmati pengunjung mengikut mood mereka iaitu insectopia jungle, kucing, angkasa lepas, akuatik, haiwan, romantik dan hutan. 

LUNA Lights Wonderland berlangsung pada 7 Januari sehingga 23 Februari
di Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Selain itu, terdapat juga ciri-ciri khas lain seperti sungai Aurora, ruang LASER, terowong cinta, terowong Star Wars dan terowong avatar.

Tambah Mark, peralatan elektrik  berkualiti tinggi  dari luar negara digunakan sepanjang pameran dan dibina sesuai dengan keadaan cuaca di Malaysia. 

“Oleh kerana pameran lampu ini diadakan di kawasan terbuka dan terdedah kepada cuaca panas dan hujan, kami menggunakan peralatan elektrik berkualiti tinggi.

“Selain itu, kami mempunyai pasukan penyelia teknikal dan elektrik khusus kami sendiri untuk memastikan keadaan lampu kekal dalam kualiti terbaik,” katanya.

Untuk pengetahuan, pengunjung yang memegang kad orang kurang upaya (OKU) diberikan kemasukan percuma, sekali gus menjadikan pameran tersebut bersifat inklusif. 

PERALATAN elektrik berkualiti tinggi digunakan untuk pameran ini.

Lebih menarik, pameran tersebut turut memberikan kemasukan percuma untuk pengunjung perempuan tidak mengira peringkat umur pada 14, 15 dan 16 Februari 2025. Bagi memastikan keselamatan pengunjung terjamin sepanjang menikmati pameran, kakitangan Luna Lights Wonderland ditugaskan menjaga  zon yang berbeza. 

Sementara untuk pengurusan tempat letak kereta dan trafik pula, penganjur turut bekerjasama dengan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela). 

Jelas Mark, cabaran terbesar penganjuran lampu sedemikian adalah mencari tempat sesuai yang memiliki pelbagai kemudahan untuk memenuhi kepuasan pengunjung.  

“Sebelum tempat dipilih, kami mempertimbangkan hal-hal termasuk tempat letak kereta yang luas, tandas yang bersih dan mudah diakses serta kemudahan penting seperti surau.

“Oleh itu, pengunjung tidak perlu risau kerana kesemua kemudahan ini telah tersedia di sekitar pameran lampu ini,” katanya. 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN