fbpx
Tunku IMRAN (tiga dari kanan) mewakili YSD menyampaikan sumbangan kepada Manjeet mewakili PPIS sambil disaksikan Nancy semasa majlis pelancaran Dawn Hope di Kuching baru-baru ini.

K2

Sediakan tempat perlindungan ‘ibu muda’ hamil bawah umur untuk bina kehidupan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

IBU muda daripada golongan rentan yang terperangkap dengan masalah sosial  perlu dibantu demi kesejahteraan dan masa depan mereka.

Melalui bantuan itu diharapkan bukan sahaja dapat mendidik mereka atas kesilapan yang berlaku, malah membina keyakinan untuk memulakan kehidupan baharu.

Sebagai salah satu usaha menyokong golongan ini, Rumah Singgah Dawn Hope: A Safe Haven for Girls in Need iaitu pusat perlindungan sementara yang pertama seumpamanya di Sarawak dilancarkan baru-baru ini.

Inisiatif yang diterajui oleh Yayasan Sime Darby (YSD) bersama Pertubuhan Pembangunan Insan Sarawak (PPIS) dan dibiayai sepenuhnya oleh Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) selama sembilan bulan ini menyediakan tempat perlindungan dan pemulihan yang selamat bagi ibu muda daripada golongan rentan serta bayi mereka.

Program ini menawarkan sokongan penting seperti penjagaan kesihatan, kaunseling dan latihan kemahiran untuk membina semula kehidupan mereka.

Pengerusi Yayasan Sime Darby, Tunku Tan Sri Imran Ibni Almarhum Tuanku Ja’afar berkata, pelancaran Dawn Hope mencerminkan komitmen bersama untuk membantu remaja yang terlibat dalam kehamilan bawah umur.

“Program ini bertujuan untuk menangani isu sosial seperti pencegahan kehamilan bawah umur dan pembuangan bayi dengan menyediakan ruang yang selamat, peluang pendidikan dan program kesedaran.

“Melalui inisiatif ini, setiap penghuni akan menerima sokongan yang diperlukan untuk kembali ke pangkuan masyarakat,” katanya ketika majlis pelancaran rumah singgah di Kuching.

Majlis tersebut telah dirasmikan oleh Menteri Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri itu  menandakan kemajuan penting dalam usaha membantu remaja yang memerlukan, terutama kalangan komuniti luar bandar dan terpinggir di Malaysia.

KES kehamilan bawah umur memerlukan perhatian serius.
– Gambar hiasan

Rumah singgah ini akan menyediakan perkhidmatan asas termasuk penjagaan kesihatan, sokongan kesihatan mental, kaunseling, bantuan pendidikan dan latihan vokasional bagi memastikan remaja terlibat terus mendapat pendidikan serta dibekalkan dengan kemahiran kebolehpasaran untuk masa depan yang lebih cerah.

Program ini merupakan salah satu inisiatif utama Program SINAR YSD (Sokongan Inklusif Autisme, Remaja dan Komuniti Rentan), program nasional yang dibiayai sepenuhnya oleh MOF di bawah rangka Belanjawan 2025.

Melalui geran padanan sebanyak RM5 juta, YSD bekerjasama dengan pelbagai NGO untuk memperluas sistem sokongan sosial bagi komuniti rentan, termasuk remaja hamil dan kanak-kanak autisme.

Dalam pada itu,  Presiden PPIS Manjeet Kaur Sidhu yang juga penerima Tokoh Wanita Sarawak 2023 dan Anugerah Kasih Wanita 2024, menekankan peranan kritikal Dawn Hope dalam menangani isu kehamilan remaja di Sarawak.

“PPIS amat berterima kasih kepada YSD dan MOF atas sokongan dalam memperkukuh usaha lebih sedekad kami untuk memperkasa wanita dan gadis di Sarawak.

“Dana ini memberikan peluang penting untuk mempercepatkan misi kami menyediakan perlindungan dan penjagaan yang penting bagi remaja yang memerlukan,” jelasnya.

Dalam pada itu, Nancy ketika berucap pada majlis pelancaran menekankan kepentingan Dawn Hope dalam membantu ibu muda mencapai kestabilan dan kemandirian.

“Dawn Hope bukan sekadar rumah singgah, ia merupakan tempat di mana ibu muda berpeluang untuk membina semula kehidupan mereka dengan perlindungan, penjagaan kesihatan serta nasihat kaunseling untuk mengembalikan keyakinan diri mereka, serta bimbingan keibubapaan.

“Saya memuji Yayasan Sime Darby atas usaha menyatukan elemen pendidikan dan latihan vokasional dalam program ini,” katanya.

TETAMU yang hadir semasa majlis pelancaran Dawn Hope berbual antara satu sama lain.

Tambahnya, pendidikan dan pembangunan kemahiran berterusan ini berperanan dalam mengubah nasib mereka dan membuka peluang ke arah masa depan yang lebih cerah.

Penubuhan Rumah Singgah Dawn Hope menunjukkan perubahan besar dalam pendekatan Malaysia menangani isu kehamilan remaja dan membuktikan bahawa dengan intervensi yang strategik, komuniti rentan dapat mengatasi cabaran dan mencapai kesejahteraan.

Bagaimanapun, rupa atau identiti pusat perlindungan Dawn Hope tidak dikongsi atau dibenarkan untuk disiarkan atas isu privasi.

Media sebelum ini melaporkan, dalam tempoh sepanjang lima tahun ini, Malaysia merekodkan 44,263 kes kehamilan remaja di mana 17,646 daripadanya melibatkan remaja perempuan yang belum berkahwin.

Sementara itu, sebanyak 841 kes kehamilan luar nikah melibatkan remaja bawah umur telah dicatatkan di Sarawak bagi tempoh 2023 hingga 2024 dan isu tersebut masih memerlukan perhatian serius.

Terdapat tiga bahagian dengan jumlah kes tertinggi bagi tahun 2023 hingga 2024, iaitu Miri dengan 204 kes dicatatkan diikuti Bintulu, 195 kes dan Kuching, 133 kes.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN