TEMPOH rehat empat bulan tanpa sebarang pertandingan seperti memberikan rahmat buat raja pecut kebangsaan, Muhammad Azeem Fahmi yang kini semakin kembali menemui larian terbaiknya.
Ia dapat dilihat berdasarkan prestasinya dalam lima larian bagi acara 60 meter (m) dalam dewan (indoor) di Amerika Syarikat (AS) bulan lalu, sekali gus menandakan permulaan kalendar untuk tahun 2025.
Tahun lalu penuntut di Universiti Auburn, Alabama itu dikritik hebat gara-gara gagal menampilkan prestasi di bawah kemampuan sebenar berbanding rekod 100m kebangsaan miliknya dengan catatan 10.09 saat (s).
Atlet berusia 20 tahun itu hanya mampu mencetak masa antara 10.36s hingga 10.61s dalam 14 larian 100m sepanjang kalendar 2024 termasuk ketika beraksi pada Sukan Olimpik Paris 2024.
Prestasi itu amat berbeza jika dibandingkan dua tahun sebelum itu yang menyaksikan Azeem konsisten hingga berjaya memenangi pingat gangsa Sukan Asia Hangzhou di China pada 2023.
Kini, pelari berasal dari Teluk Intan, Perak itu dilihat mula menikmati lariannya apabila mencipta catatan tahunan terbaik 60m indoor dengan masa 6.65s ketika menyertai Kejohanan Bob Pollock Invitational di Clemson, Carolina Selatan pada 31 Januari lalu.
Kejohanan sebelum itu menyaksikan Azeem merekodkan 6.73s, 6.67s dan 6.68s bermula peringkat saringan, separuh akhir dan final.
Ia menunjukkan peningkatan ditunjukkan Azeem yang turut merakam masa 21.63s untuk meraih pingat gangsa acara jarak pendek 200m Kejohanan Bob Pollock Invitational pada 1 Februari lalu.
Tiada kejohanan besar buat Azeem dalam tahun ini selain cuba melayakkan diri ke Kejohanan Dunia di Tokyo, Jepun dijadualkan September dan Sukan SEA Thailand 2025 pada hujung Disember.
Ia menyebabkan Azeem tidak diberikan tekanan tinggi oleh mana-mana pihak dalam usahanya merealisasi impian menjadi pelari 100m pertama dari rantau Asia Tenggara mencetak masa bawah 10s.
Mungkin juga disebabkan dia sudah mula menyesuaikan diri dengan teknik larian di bawah jurulatihnya di Universiti Alabama iaitu Olimpian dari Zimbabwe, Ken Harnden.
Jadi tempoh masa panjang ini sebelum bermulanya misi utama bergelar raja pecut Asia Tenggara pada Sukan SEA Thailand nanti harus dimanfaatkan sepenuhnya.
Ini kerana, ketika itu seluruh tumpuan pastinya terarah kepada pertembungan tiga penjuru antara Azeem, pelari sensasi Thailand, Puripol Boonson dan bekas raja pecut remaja dunia dari Indonesia, Lalu Muhammad Zohri.
Rekod peribadi dua seteru itu lebih pantas daripada Azeem apabila Lalu pernah mencipta 10.03s sementara Puripol pula dengan 10.06s selain turut meraih pingat perak Sukan Asia Hangzhou.
Jadi tempoh ini adalah waktu terbaik buat Azeem memperbaiki catatan peribadinya yang juga rekod kebangsaan sebaik saingan sebenarnya di trek 100m membuka tirai pertengahan bulan depan.
Tidak mustahil juga dalam tempoh itu Azeem berupaya mencipta masa bawah 10s sekiranya dia tidak diberikan tekanan melampau sebelum Sukan SEA Thailand bermula.














