RAUB – Keluarga kepada Ahmad Khairul Nizam Sudin, 22, yang dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan arus ketika mandi bersama abangnya di sebatang sungai di Kampung Badang, Jalan Cheroh dekat Batu Talam di sini, Selasa lalu, hanya mengharapkan jasadnya ditemui.
Ibu mangsa, Rohani Ishak, 49, berkata, dia sangat terasa kehilangan anak keempat dari enam beradik itu kerana mangsa dikenali seorang yang ceria.
Katanya, abang mangsa, Ahmad Tarmizi Haris, 23, yang berusaha membantu menyelamatkan mangsa ketika kejadian kini menjadi pendiam kerana trauma dengan apa yang berlaku.
“Kami sekeluarga berharap jasad Khairul ditemui dalam apa jua keadaan. Selagi tidak dijumpai kami tidak dapat melelapkan mata.
“Selain usaha pencarian oleh pihak berkuasa dan penduduk kampung, kami sekeluarga juga tidak putus-putus melakukan solat hajat serta bacaan Yasin,” katanya di sini semalam.
Sementara itu, Ahmad Tarmizi berkata, sebelum kejadian, dia bersama dua adiknya termasuk mangsa serta tiga lagi rakan pergi ke sungai berkenaan pada pukul 3 petang untuk mandi.
“Kami mandi berhampiran rakit buluh dan masa tengah main tarik rakit, adik saya dan seorang lagi rakan yang dipanggil Ikhwan hanyut dibawa arus.
“Saya dengar Khairul menjerit meminta tolong, tapi saya tidak pandai berenang. Jadi saya bertindak mengambil bot jenis gentian kaca tanpa enjin yang ada di situ untuk menyelamatkan adik saya.
“Masa itu saya sempat lihat Khairul menolak Ikhwan ke tepi tebing sebelum dia tenggelam timbul dan hanyut dibawa arus,” katanya.
Katanya, dua pemancing yang kebetulan berada di sekitar sungai berkenaan bertindak menghulur kayu kepada Khairul, namun mangsa tidak berjaya mencapainya.
“Ini bukan kali pertama kami mandi di sini, namun ia memberi kesan yang mendalam kepada saya kerana ia berlaku berlaku sekelip mata.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd. Salahuddin Isa berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 4.08 petang dan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Raub dikerahkan ke tempat kejadian. -KOSMO! ONLINE














