SEORANG ibu boleh menjaga 10 orang anak, namun belum tentu seorang anak mampu menjaga seorang ibu.
Itulah ungkapan yang sering dimainkan oleh masyarakat bagi memupuk rasa hormat dan sayang kepada kedua-dua orang tua.
Jika dilihat sekarang, ungkapan itu ada benarnya apabila penulis melihat ramai anak tidak sanggup menjaga ibu bapa masing-masing.
Baru-baru ini, Kosmo! mendedahkan segelintir anak sanggup menghantar ibu bapa mereka ke pusat pengajian al-Quran meskipun memiliki kerjaya hebat dengan gaji mencecah ribuan ringgit.
Berdasarkan data Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), lebih 10,000 warga emas direkodkan dihantar ke pusat jagaan di seluruh negara sehingga Jun tahun lalu.
Menurut Ketua Jabatan Sains Kemasyarakatan dan Pembangunan, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia, Profesor Madya Dr. Nik Ahmad Sufian Burhan, menjaga warga emas bukanlah tugas mudah, terutama jika mereka menghidap penyakit seperti alzheimer dan dementia.
Katanya, antara faktor lain yang menyumbang kepada senario ini adalah tekanan kehidupan moden menyebabkan ramai anak tidak mempunyai masa mencukupi untuk menjaga ibu bapa mereka dengan baik.
“Tidak semua anak mempunyai kemahiran dan keupayaan untuk mengurus keperluan harian ibu bapa yang uzur, menyebabkan mereka memilih pusat jagaan yang menawarkan penjagaan profesional (berbayar).
“Keadaan ekonomi juga memainkan peranan, yang mana kos penjagaan di rumah, termasuk upah penjaga dan rawatan khas boleh menjadi beban yang besar,” katanya.
Dalam situasi tertentu katanya, konflik dalam keluarga seperti ketegangan antara menantu dan mentua atau keadaan rumah sempit, turut menjadi punca mengapa anak-anak mengambil keputusan menghantar ibu bapa mereka ke pusat jagaan.
Dr. Nik Ahmad Sufian berkata, terdapat juga ibu bapa sendiri memilih untuk tinggal di sana secara sukarela atas faktor keselesaan, kemudahan perubatan serta keinginan untuk tidak membebankan anak.
“Dengan kehidupan anak-anak yang sibuk, sesetengah warga emas lebih selesa berada dalam persekitaran yang menyediakan sokongan rakan sebaya dan pemantauan profesional.
“Namun, anak-anak perlulah memastikan hubungan kekeluargaan tetap dijaga melalui lawatan berkala dan interaksi berterusan supaya ibu bapa tidak tersisih,” katanya.
Sementara itu, bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, hukum menghantar ibu bapa ke pusat jagaan adalah haram sekiranya mereka tidak reda dengan tindakan itu.
“Apatah lagi jika anak hanya ingin melepaskan tanggungjawab tanpa menziarahi serta memberi nafkah kepada orang tuanya. Hal ini adalah berdosa apabila perasaan orang tua tidak dijaga,” katanya.
Bagaimanapun, Zulkifli berkata, ia adalah harus sekiranya warga emas tersebut rela berbuat demikian dan mengambil kira layanan diberikan adalah baik dan tiada unsur penganiayaan terhadap mereka. -KOSMO! ONLINE
















