KETIKA ini kecerdasan buatan (AI) merupakan satu teknologi yang semakin penting dalam kehidupan serba moden. Ia menjadi alat penting untuk pelbagai bidang termasuk kesihatan, kewangan, kreatif dan lain-lain.
Oleh itu, permintaan terhadap tenaga kerja yang mahir dalam teknologi AI amat diperlukan pada ketika ini dan masa hadapan.
Namun begitu, tidak banyak institusi pengajian di negara ini yang menawarkan bidang pengajian tersebut bagi membolehkan tenaga mahir AI dilahirkan.
Oleh demikian, Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM) mengambil inisiatif dengan memperkenalkan pembangunan program baharu Ijazah Sarjana Muda Kecerdasan Buatan (AI).
Malah, inisiatif ini juga telah menempatkan UPTM sebagai institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) pertama yang menawarkan program ini di Malaysia.
Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi UPTM, Prof Dr. Muhamad Nizam Jali berkata, mereka mahu jadikan UPTM sebagai pusat AI dalam institusi di bawah Majlis Amanah Rakyat (Mara).
Jelasnya, dengan memperkenalkan Ijazah Sarjana Muda AI, UPTM melakar sejarah sebagai IPTS yang pertama di Malaysia yang menawarkan bidang pengajian tersebut.
“Seperti yang kita ketahui, AI ini merupakan satu bidang baharu yang semakin berkembang.
“Ia bukan sahaja bidang baharu, malah AI ini juga menawarkan pasaran kerja yang begitu luas pada masa hadapan,” katanya kepada media selepas pelancaran program Ijazah Sarjana Muda AI dan peluncuran buku bertajuk
Ada Apa Dengan AI yang dilancarkan oleh Ketua Pengarah Mara, Datuk Seri Azhar Abdul Manaf di Medan Mara, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Sebelum ini, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah menjadi universiti awam pertama yang menawarkan program Ijazah Sarjana Muda AI.
Dengan penawaran program-program pengajian AI ini bakal memperhebat sektor AI dalam negara ini.
BERCERITA lanjut mengenai kecerdasan buatan (AI), kata Muhamad Nizam, AI merupakan bidang baharu yang menawarkan prospek kerjaya luas menjadikannya satu pilihan strategik bagi pelajar yang ingin menceburi bidang tersebut.
Katanya, pelbagai peluang kerjaya ditawarkan dalam bidang AI ini termasuklah penganalisis data, usahawan dan sebagainya.
Menurutnya, program AI tersebut dijangka ditawarkan di UPTM pada September ini dan tempoh pengajian adalah selama tiga tahun.
Antara syarat kemasukannya adalah pelajar perlu mempunyai sijil diploma atau asasi dalam bidang Teknologi Maklumat (IT), Sains Komputer atau yang berkaitan.
Untuk pengambilan pertama bagi program tersebut, Muhamad Nizam menjelaskan, mereka adalah sekitar 20 hingga 30 pelajar.
“Untuk menarik minat pelajar mendalami program ini kita juga telah menguar-uarkan tentang prospek kerjaya dalam bidang AI ini.
“Salah satunya melalui Karnival Pendidikan Pascasiswazah UPTM yang kami adakan untuk memperkenalkan AI ini kepada orang ramai,” jelas Muhamad Nizam.
Bersama pelancaran program Ijazah Sarjana Muda AI itu, UPTM turut melancarkan buku bertajuk Ada Apa Dengan AI memandangkan AI kini telah menjadi bahagian penting dalam kehidupan moden serta meningkatkan kecekapan dalam pelbagai industri.
Namun, kemajuan AI juga membawa cabaran seperti isu privasi data dan banyak lagi.
Oleh itu, buku itu memberikan gambaran komprehensif mengenai AI, termasuk sejarah, fungsi, manfaat, cabaran dan masa depannya.
Ini bagi membantu masyarakat Malaysia memahami dan beradaptasi dengan dunia yang semakin dipacu oleh tenologi AI.
“Penghasilan buku AI ini bertujuan untuk memberi pendedahan kepada orang ramai tentang teknologi tersebut.
“Buku ini dihasilkan dalam bahasa yang mudah untuk difahami dan mereka yang membacanya akan mendapat maklumat tentang AI secara umum,” ujar Muhamad Nizam.
Di dalam buku itu turut diterangkan tentang AI yang merujuk kepada keupayaan sistem komputer atau mesin untuk meniru fungsi kognitif manusia, seperti pembelajaran, pemahaman dan penyelesaian masalah.
Buku tersebut ditulis oleh Dekan Fakulti Pengkomputeran dan Multimedia, Dr. Saifuddin Mohtaram, Muhamad Nizam serta pensyarah-pensyarah UPTM lain iaitu Mariani Mohd. Dahlan, Adam Shukry Ali serta Noor Maizatulshima Muhammad Sabri.
Dalam pada itu, Dr. Saifuddin Mohtaram berkata, dalam Ijazah Sarjana Muda AI yang ditawarkan, ada dua laluan utama iaitu AI dalam Kewangan atau AI dalam Perniagaan serta AI untuk Data Raya.
Menurutnya, apa yang pelajar akan belajar adalah berkaitan asas sains komputer serta asas AI sebelum memilih laluan khusus pilihan mereka.
“Kita juga lebih melihat kepada AI gunaan di mana pelajar boleh gunakan AI ini untuk kerjaya mereka sama ada sebagai seorang usahawan, jurutera data dan sebagainya.
“Ini bergantung kepada keperluan mereka sendiri,” ujarnya.
Dalam pada itu, Saifuddin juga menjelaskan, silibus untuk program yang ditawarkan oleh mereka itu juga dibangunkan mengikut garis panduan terkini yang dikeluarkan oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) pada Oktober lalu.
Mereka mengikuti panduan tersebut dan dalam masa yang sama turut bekerjasama dengan beberapa universiti lain antaranya Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) untuk membangunkan silibus program tersebut.
“Tetapi kebanyakan silibus memang kita mengikuti standard yang terkini dan melihat juga subjek-subjek berkaitan AI yang ditawarkan oleh universiti-universiti luar.
“Kita sebenarnya dalam proses memohon kelulusan MQA dan proses ini telah dibuat dan kita sedang menunggu maklum balas daripada MQA,” ujarnya.
Tambah Saifuddin, mereka menjangkakan sekitar hujung tahun ini atau awal tahun hadapan UPTM boleh menawarkan program itu kepada para pelajar.
Untuk menawarkan program AI itu sudah semestinya tenaga mengajar yang mahir diperlukan dan UPTM juga telah bersedia dan mereka mempunyai pensyarah yang mahir dalam bidang tersebut.
Saifuddin berkata, UPTM mempunyai ramai pensyarah yang mahir dalam bidang itu dan beberapa orang pensyarahnya telah mengambil Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang AI. Selain itu ada beberapa orang pensyarah yang diambil memiliki Sarjana dalam bidang AI.
“Kita melihat AI ini ada pelbagai bidang dan contohnya AI untuk bahasa kita panggil pemprosesan bahasa semula jadi (NLP) ataupun AI untuk objek yang kita panggil visual ataupun computer vision.
“Setiap bidang itu ada pakar dia, dan Alhamdulillah, di UPTM kita telah berjaya bangunakan pakar-pakar ini untuk mengajar subjek-subjek tersebut,” katanya.
Tambahnya, kesemua pensyarah telah bersedia dan mereka juga telah menyediakan kemudahan untuk pembelajaran program AI.
Dalam pada itu, Naib Canselor UPTM, Prof. Madya Dr. Sharifah Syahirah Sy Sheikh dalam ucapannya semasa Karnival Pendidikan Pascasiswazah UPTM berkata, sebagai sebuah institusi yang komited dalam melahirkan tenaga kerja yang kompeten dan berdaya saing, UPTM sentiasa peka terhadap perkembangan teknologi serta keperluan industri.
“Ini adalah sebahagian daripada usaha universiti untuk memberikan pendedahan yang lebih luas kepada pelajar, penyelidik, dan tenaga akademik dalam bidang AI.
“Saya juga berasa amat bangga kerana kita telah menyaksikan peluncuran pembangunan program baharu, Ijazah Sarjana Muda AI serta peluncuran buku Ada Apa Dengan AI,” katanya.
Tambahnya, diharapkan ia akan menjadi sumber rujukan utama bagi mereka yang ingin mendalami AI secara lebih komprehensif.















