AKTIF menulis novel sejak dua dekad lalu, Mazni Othman atau lebih dikenali sebagai Sophilea, 43, cukup popular dan namanya sentiasa meniti di bibir pencinta novel. Malah, karya-karyanya juga mendapat perhatian pihak produksi untuk diadaptasi ke drama televisyen.
Sehingga kini, Sophilea telah menghasilkan 90 buah novel, manakala 17 daripadanya telah diadaptasi ke drama televisyen sehingga mencetuskan fenomena dalam kalangan masyarakat.
Antara karyanya yang telah diadaptasi ialah Sayangku Kapten Mukhriz, Pengantin Satu Malam, Bukan Sekadar Lafaz, Wanita Syurga, Kerana Cinta itu Ada dan Dhia Kasyrani.
Sentuhan ‘magisnya’ itu telah mewarnai industri buku dan seni kreatif negara sehingga Sophilea dinobatkan dengan pelbagai anugerah.
Antaranya ialah Novelis Seram Terbaik Anugerah Buku Negara, Novel Seram Terbaik Anugerah Buku Negara, Karya Mewangi Sepanjang Zaman, Penulis Prolifik Intens Idea, Penulis Prolifik, Anugerah Telenovela dan Ikon Generasi Felda.
Bercerita mengenai minatnya dalam bidang penulisan, Sophilea memberitahu, ia sudah berputik sejak di bangku sekolah rendah apabila didedahkan dengan pembacaan novel daripada penulis hebat seperti Sasterawan Negara, Datuk Usman Awang.
“Pendedahan kepada novel-novel sejak di bangku sekolah rendah membuatkan saya sangat minat membaca. Sejak itu, saya sudah memasang cita-cita untuk bergelar penulis, di samping mahu menjadi peguam.
“Ketika di sekolah rendah juga saya suka menulis diari yang menceritakan aktiviti seharian. Ini sedikit sebanyak dapat mengasah kemahiran menulis serta membuatkan saya semakin mencintai bidang penulisan,” katanya ketika ditemui K-Wanita pada program Bicara Novelis@Perpustakaan Siri 1/2025 di Perpustakaan Negara, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Sophilea yang juga merupakan Pengarah Urusan Tinta Global berkata, tahun 2004 menjadi titik tolak kepada dirinya sebagai novelis apabila terpaksa berhenti kerja sebagai guru.
Katanya, dia terpaksa berhenti kerja bagi memberi perhatian penuh kepada anak sulungnya yang menghidap penyakit jarang jumpa iaitu Wegenes granulomatosis.
“Siapa sangka, hikmah itu telah membuka ruang kepada saya untuk menulis, di samping menjaga anak yang sedang sakit. Maka lahirlah manuskrip pertama yang bertajuk Nota Buat Cempaka.
“Pada awalnya, saya tidak tahu hendak hantar manuskrip ini ke mana dan ia ‘terkurung’ di dalam komputer riba. Pada tahun 2008, saya memberanikan diri untuk menghubungi syarikat penerbitan selepas melihat maklumatnya pada sebuah buku.

“Alhamdulillah, manuskrip saya bertajuk Samudera Indah Nian berjaya diterbitkan pada tahun tersebut dan terjual sebanyak 3,000 naskhah,” cerita ibu kepada lima orang putera itu.
Tahun 2015 menjadi detik termanis baginya apabila novel Samudera Indah Nian telah diadaptasi ke drama televisyen, Sayangku Kapten Mukhriz sekali gus mengangkat namanya.
Bermula dari situ, banyak syarikat produksi mengintai karya-karyanya yang lain untuk dikembangkan ke bentuk drama televisyen. Lembaran baharu itu juga membuka peluang kepada Sophilea untuk bergelar penulis skrip dan terlibat dalam pembikinan drama.
Di Sebalik kejayaan yang dikecapinya, Sophilea tidak terkecuali berdepan dengan pelbagai cabaran termasuklah hasad dengki manusia yang cuba menjatuhkannya.
“Saya hampir dibanned oleh stesen televisyen akibat fitnah dan hasad dengki manusia. Namun, saya tidak berputus asa kerana percaya kepada rezeki Allah SWT.
“Alhamdulillah, niat jahat itu tidak berjaya, saya masih diberi peluang berkarya sehingga ke hari ini.
“Selain itu, saya sudah letih berdepan dengan penjualan e-book haram yang ‘mencedok’ karya-karya saya dan menjual dengan harga sangat murah,” katanya yang turut memasang impian untuk melebarkan sayap ke Indonesia.
Walaupun sibuk dengan tugasan harian yang padat, namun wanita berasal dari Felda Lasah, Sungai Siput, Perak itu tidak melepaskan peluang melakukan kerja-kerja kebajikan bersama badan bukan kerajaan (NGO) sejak 2017.
Usaha itu bagi membantu golongan asnaf seperti mengajar mereka untuk menjadi penulis, bantuan yuran pengajian dan pemberian makanan. Sebelum mengakhiri bicara, Sophilea menitipkan pesanan kepada penulis-penulis muda agar menulis dari hati dan menyampaikan karya-karya bermanfaat, bukannya mengejar populariti semata-mata.














