fbpx
AMIN (kiri) dan Abid (kanan) menerima anugerah Education Creator of The Year di TikTok Awards 2024 tahun lalu.

Kembar ‘kelas belakang’ hebat seni, kreatif

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

‘Phineas dan Ferb dunia sebenar’. Begitulah gelaran yang diberikan kepada pasangan kembar berbakat besar yang dianggap pencipta kandungan kembar paling popular tanah air di media sosial.

Karakter kartun Phineas dan Ferb yang merupakan dua beradik pintar dengan pelbagai kebolehan sering kali disamakan dengan pasangan kembar berusia 25 tahun, Muhammad Amin Othman dan Muhammad Abid Othman itu dek kerana kreativiti mereka.

Kembar itu juga bahkan berjaya merangkul anugerah Education Creator of The Year di TikTok Awards 2024 Ogos tahun lalu selepas koleksi video-video penuh bermanfaat daripada mereka menjadi tular.

Sehingga kini, mereka sudah pun mempunyai lebih 800,000 pengikut di platform itu.

Menjengah ke akaun TikTok @aminxabid, pengikut pastinya berasa kagum dan barangkali tertanya-tanya, apa sahaja yang tidak boleh dibuat oleh pasangan kembar itu?

Mereka boleh mengubah suai rumah, mengecat kereta, menghias kek bertemakan Hari Kebangsaan, menghasilkan lampu dinding dan membuat tempat duduk kucing dalam kereta.

Tidak keterlaluan jika dikatakan, sisi kreatif dan paparan video penuh bermanfaat melayakkan mereka menjadi idola, khususnya buat anak muda.

Bahkan, ada seorang guru yang turut meninggalkan komen pada salah satu video mereka berharap agar anak-anak muridnya yang mungkin mengimpikan untuk bergelar pencipta kandungan supaya turut ‘menjadi’ seperti dua beradik kembar itu.

Berkongsi dengan K-Remaja, mereka yang mesra disapa sebagai Amin dan Abid memberitahu sejak kecil lagi, kedua-dua anak muda itu sudah menyedari bahawa mereka sememangnya mempunyai sisi kreatif dalam diri.

“Kalau diikutkan, sejak kecil lagi kami berdua sudah terjebak dengan apa sahaja aktiviti atau projek bersifat seni atau hands-on.

“Namun, ketika itu, kita tidak mempunyai platform seperti sekarang yang boleh kami gunakan untuk menunjukkan bakat kami,” ujar Amin, si abang.

Tambah anak kelahiran Manjung, Perak itu, sejak kecil, mereka berdua sering melihat bapa yang selalu bertukang dan ia sedikit sebanyak menambah minat mereka untuk melakukan pelbagai kerja tangan sehingga ke hari ini.

Amin dan Abid berkata, kandungan pertama yang dimuat naik mereka adalah sekitar tahun 2022 yang memaparkan kehidupan seharian mereka sebagai rakan sebilik ketika menuntut di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Merbok, Kedah dalam jurusan Sarjana Muda Reka Perindustrian.

Kandungan bertajuk ‘POV Roommate Kembar Sendiri’ itu berjaya muncul di For You Page (FYP) ramai pengguna TikTok, sekali gus mula memperkenalkan nama Amin dan Abid.

“Dari situ, kami membuat keputusan untuk buat kandungan tentang kehidupan kami sebagai pasangan kembar dan juga kandungan yang memaparkan apa yang kami belajar di universiti iaitu Industrial Design (IDE),” kata Amin.

Siapa sangka, kandungan yang hanya bermula sekadar suka-suka itu mampu memperkenalkan nama Amin dan Abid sehingga mempunyai jumlah pengikut yang ramai.

Video-video yang mereka hasilkan menunjukkan sisi kreatif sehingga dikagumi ramai.

Begitu pun, video yang paling melonjakkan nama mereka adalah video ‘Mak, nak dapur baru’ yang memaparkan pasangan kembar itu membuat dapur baharu buat ibu mereka dengan kos sekitar RM8,000.

Menerusi video tersebut, Amin dan Abid menunjukkan proses pengubahsuaian dapur rumah mereka, daripada hanya dapur biasa kepada dapur rona putih dan hitam serba mewah, sesuai kehendak ratu hati mereka itu.

“Daripada video itulah, semakin ramai orang Malaysia yang mula kenal kami,” ujar Abid.

Bahkan, video tersebut juga berjaya meraih pelbagai komen daripada netizen, yang kagum dengan kebolehan serta kreativiti pasangan kembar itu.

Abid juga menyifatkan populariti video tersebut merupakan antara kenangan yang paling manis buatnya sepanjang bergelar pencipta kandungan.

Berbeza pula dengan Amin, dia menyifatkan satu lagi video mereka mengubah suai ruang luar kediaman menjadi ruang santai atau ‘ngopi’ bersama keluarga sebagai antara kenangan yang paling bermakna buatnya.

“Ini kerana video itu berjaya merekodkan sebanyak 1.2 juta likes dalam tempoh empat jam selepas dimuat naik,” kata Amin.

Berkongsi pendapat tentang pentingnya ilmu biarpun memilih laluan bergelar pencipta kandungan sepenuh masa, pasangan kembar itu berharap pengikut mereka akan sentiasa mementingkan pelajaran dan menanam impian untuk menyambung pengajian jika berpeluang.

Mereka juga berharap agar anak muda boleh menyingkirkan mentaliti atau kehendak untuk menjadi pencipta kandungan tanpa pelajaran.

“Ini kerana apabila seseorang itu mempunyai kelulusan akademik, kredibiliti mereka tidak akan dipertikaikan,” kata mereka.

Amin dan Abid yang juga sebelum ini pernah digelar ‘kembar kelas belakang’ berharap agar kejayaan mereka boleh menjadi inspirasi kepada anak muda untuk mengutamakan ilmu.

“Sejujurnya kami tidak menyangka akan sampai ke tahap ini kerana populariti kami naik dengan agak cepat.

“Biarpun pernah bergelar pelajar di kelas tercorot, kami belajar bahawa kegagalan itu bukanlah titik pengakhiran buat kami.

“Sebaliknya ia adakah titik permulaan baharu. Kami juga belajar bahawa sekiranya kita berada di tempat yang betul, bakat kita pastinya akan dihargai oleh masyarakat,” kata pasangan kembar itu.

Mahu terus menggunakan platform media sosial untuk perkara bermanfaat, Amin dan Abid berkongsi sedikit tentang projek terbaharu mereka iaitu sebuah DIY box untuk kanak-kanak.

“Jika diizinkan Allah, bagi projek akan datang, kami mengimpikan untuk menghasilkan permainan yang ringkas, namun efektif untuk kanak-kanak bermain sambil belajar.

“Produk ini juga akan mengetengahkan sistem pembelajaran aliran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dan TVET,” kata pasangan itu.

Selepas menang di TikTok Awards tahun lalu, pasangan itu tercalon sebagai Top 5 Content Creator (Lifestyle) di Gempak Most Wanted Awards 2024 yang bakal berlangsung pada hujung bulan ini.

“Menang atau kalah itu nombor dua, apa yang penting adalah pengalaman ini dan kami hanya mahu nikmatinya,” kata Amin.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN