BARU-baru ini hangat diperkatakan tentang peruntukan RM30 juta yang diberikan kerajaan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Walaupun separuh jumlah itu akan dibiayai pihak swasta, nilai RM30 juta tersebut cukup besar kerana berlaku kenaikan 100 peratus berbanding pengumuman asal RM15 juta.
Cuma satu persoalan yang masih berlegar di kepala penulis, kenapa bola sepak menjadi ‘anak emas’. Adakah sukan lain dipandang sebelah mata atau tidak layak untuk terima peruntukan sama?
Perkara berbangkit itu ada asasnya kerana Malaysia masih ada sukan dan atlet bertaraf dunia. Ada yang beranggapan ia lebih kepada publisiti, tetapi bagi penulis, tidak pernah sesekali menafikan sumbangan atlet sukan lain, namun adalah tidak wajar wujud perasaan cemburu kerana isi tersuratnya adalah demi kebaikan Malaysia.
Seperkara lagi, jumlah yang diumumkan itu bunyinya agak besar, tetapi hakikatnya masih kecil jika dibandingkan dengan negara lain yang bercita-cita besar seperti Harimau Malaya.
Bekas pemain kebangsaan, Azlan Johar berkata, bola sepak menjadi platform ‘taaruf’ bagi generasi muda untuk melibatkan diri dalam sukan.
“Tidak wajar wujud perasaan cemburu, tetapi kita tidak menafikan sumbangan sukan lain. Bola sepak adalah sukan nombor satu dunia, malah anak-anak kita pun sudah diberi bola sejak kecil.
“Bola sepak adalah ‘perkenalan’ kepada sukan, jadi kita kena berbelanja. Sekarang orang yang tidak bermain bola sepak pun berebut ke stadium terutama apabila pasukan negara beraksi,” katanya.
Bagaimanapun, pemberian peruntukan itu pastinya akan membuka publisiti dan tanggungjawab mengurus lebih berat menanti FAM memandangkan semua pihak akan terus memantau badan induk tersebut.
Apabila dana diperoleh daripada kerajaan, peminat berhak untuk menjadi ‘pengadil’ kerana ia pastinya membabitkan duit rakyat yang semua orang ada hak untuk ambil tahu bagaimana ia dibelanjakan tanpa wujud sebarang pembaziran.
Memandangkan FAM bakal diterajui oleh pucuk pimpinan baharu, dana yang dimiliki ketika ini menuntut FAM lebih merapati ahli gabungan untuk menterjemahkan idea lebih segar sekali gus mampu lahirkan pemain berkualiti.
Mengambil kira perkembangan semasa yang menyaksikan Harimau Malaya sudah mempunyai struktur organisasi baharu bagi revolusi skuad tersebut, sudah pasti FAM mempunyai lebih masa untuk memberi tumpuan kepada aspek lain khususnya perkara lebih kritikal membabitkan soal pembangunan.
“Tidak boleh cepat melatah, gunakan dunia untuk perkara bagus dan bukannya berbelanja sesuka hati. Bukan untuk bermewah-mewah, imbuhan kepada pemain pun wajar diberikan sekiranya mereka mencapai kejayaan.
“FAM juga perlu lihat kepada modul pembangunan mengikut DNA dimahukan dan perlu pantau apa ahli gabungan buat. Kalau ada (ahli gabungan) yang tidak buat program pembangunan, jangan beri duit.
“Kalau ada kelab yang mengikut apa yang FAM tunjukkan, apa salah kita bantu mereka kerana untuk ada pasukan kebangsaan yang kuat, kita juga harus kerja kuat di peringkat akar umbi,” katanya.














