Seorang peniaga memotong ayam yang dibeli pelanggan di George Town semalam.

Harga ayam naik 4 kali sejak Januari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GEORGE TOWN – Pengusaha ayam terutama peniaga kecil di negeri ini mengakui terpaksa berniaga dalam keadaan tertekan apabila harga ayam standard di peringkat pembekal naik lagi 30 sen, berkuat kuasa semalam.

Rata-rata mereka yang ditemui Kosmo! di sini, mendakwa kenaikan harga barangan keperluan itu dikatakan sudah berlaku empat kali sejak awal Januari lalu.

Ketika ini, harga ayam stan­dard yang ditetapkan pembekal adalah sekitar RM8.80 hingga RM9.20 sekilogram berban­ding November hingga Disember tahun lalu adalah RM7.60 dan RM7.50 sekilo.

Harga ayam yang dipasarkan pembekal kepada peniaga berbeza kerana ia bergantung pada kualiti bekalan dan syarikat atau kilang pengeluarnya.

Difahamkan, pihak pembekal memberi alasan pelbagai termasuk harga dedak semakin mahal, saiz ayam tidak membesar, keadaan reban yang kurang memuaskan serta permintaan tinggi pada musim cuti sekolah dan Tahun Baharu Cina.

Peniaga ayam, Muhammad Syazwi Noorazli, 24, berkata, kenaikan harga ayam standard yang berlaku berturut-turut telah memberi kesan kepada perniagaan yang diusahakannya secara kecil-kecilan sejak dua tahun lalu di Teluk Kumbar.

“Setiap hari, saya akan jual sebanyak 100 hingga 130 kilogram ayam kepada pelanggan dan berat bagi seekor ayam pula dianggarkan antara 1.3 hingga 1.7 kilogram (kg) pada harga RM10.50 sekilogram.

“Hari ini, saya masih mampu bertahan dengan harga lama iaitu RM10.50 sekilo meskipun ramai dalam kalangan peniaga dikatakan sudah menetapkan harga baharu sehingga RM11 sekilogram bermula hari ini ( semalam).

Sementara itu, seorang lagi peniaga ayam di Pasar Awam Chowrasta, Mohamad Nasir Abdul Kalam, 33, berkata, dia turut berdepan dengan kenaikan harga ayam standard sebanyak 30 sen di peringkat pembekal semalam.

“Pihak pembekal tidak memberi apa-apa alasan tentang kenaikan harga baharu tapi kami sudah jangka berlaku memandangkan ini sudah masuk kali keempat sejak Januari lalu.

“Disebabkan ini juga, saya memutuskan untuk menaikkan harga ayam sebanyak RM10 sekilo bermula hari ini (semalam) berbanding sebelum ini dijual RM9.40 sekilo,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN