GEORGE TOWN – Pembinaan semula Gaza bukan sahaja menjadi satu keperluan fizikal, malah menjadi tanggungjawab kemanusian dan keagamaan dalam membuktikan bahawa umat Islam bersatu menghadapi kezaliman.
Mufti Pulau Pinang, Datuk Dr. Mohd. Sukki Othman berkata, sebagai umat Islam, sudah menjadi kewajipan untuk membantu saudara-saudara di Palestin yang sedang menghadapi penderitaan akibat serangan dan kemusnahan berterusan.
Katanya, Islam menekankan kepentingan membantu umat yang ditindas dan memberikan perlindungan kepada mereka yang memerlukan.
“Saya dengan penuh rasa tanggungjawab dan keprihatinan, ingin menyatakan sokongan penuh terhadap usaha yang digerakkan oleh Kerajaan Malaysia, seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam inisiatif membina semula Gaza.
“Sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah Al-Maidah (ayat dua) iaitu ‘dan tolong-menolonglah kamu dalam mengerjakan kebajikan dan takwa, dan jangan tolong-menolong dalam perbuatan dosa dan permusuhan’,” katanya di sini semalam.
Kata beliau lagi, usaha dalam membina semula Gaza juga melambangkan solidariti sejagat sekali gus membuktikan umat Islam bersatu dalam memperjuangkan hak rakyat Palestin untuk hidup dengan aman dan bermaruah.
“Seluruh rakyat Malaysia diseru khususnya umat Islam untuk bersama-sama menyokong usaha murni ini melalui sumbangan, doa dan penyebaran kesedaran mengenai isu Palestin.
“Marilah kita jadikan usaha ini sebagai satu jihad kemanusiaan, yang bukan sahaja mendatangkan kebaikan di dunia tetapi juga menjadi saham akhirat,” tambahnya.
Kelmarin, Perdana Menteri menerusi hantaran di Facebooknya menegaskan bahawa pengumuman gencatan senjata di Gaza harus disusuli dengan perancangan pemulihan wilayah itu.
Justeru katanya, Malaysia menggerakkan usaha membina sebuah sekolah, hospital dan masjid di Gaza bagi meringankan penderitaan penduduk Palestin.
Jelasnya, usaha tersebut akan direalisasikan dengan menggembleng sinergi dan kerjasama semua pihak termasuk syarikat berkaitan kerajaan, badan bukan kerajaan, swasta, perniagaan, korporat dan seluruh rakyat negara ini.














