Kereta Mercedes-AMG A35 4Matic dilihat menawarkan pengalaman pemanduan yang luar biasa bagi peminat kereta berprestasi tinggi.
AMG A35 4 Matic versi facelift telah dilancarkan Mercedes Benz Malaysia pada pertengahan tahun lalu.
Versi ini hadir sebagai sebuah sedan coupe empat pintu berbanding AMG lain yang kebanyakannya hatchback.
Baru-baru ini penulis telah diberi peluang untuk memandu uji model prestasi jenama Jerman ini selama beberapa hari.
Model ini dijana oleh enjin M260 2.0 liter empat-silinder turbo yang menghasilkan kuasa 225hp (306ps) pada 6,100rpm dan tork tertinggi sehingga 400Nm antara 2,500 hingga 4,000rpm.
Jentera ini menggunakan transmisi AMG Speedshift DCT 8G dual-clutch dengan sistem pacuan semua roda.

Berbanding versi sebelum ini, model tersebut turut menerima tambahan sistem hibrid ringkas berkuasa 48 volt yang digerakkan oleh unit starter generator (RSG).
Kuasa kemudiannya dialirkan ke kesemua roda menerusi sistem AMG Performance 4Matic.
Atas kertas, kelajuan maksimum kereta ini sehingga 250 kilometer sejam (km/j). Kadar pecutan dari pegun hingga 100 km/j hanya dalam masa 4.3 saat.
Ketika penulis memecut hingga pecutan maksimum 250km/j atas lebuh raya, prestasi sedan ini amat mengagumkan, langsung tidak membuai dan ngaumannya memberi rasa luar biasa.
Selain itu, cengkaman brek kereta ini mencengkam secara selari dan menambah keyakinan pemanduan sewaktu membrek pada kelajuan tinggi.
Rekaan luarannya sporty dengan ciri maskulin yang minimal menggunakan jeriji radiator yang lebih ‘garang’.
Emblem baharu AMG Affalterbach digunakan pada versi facelift dengan logo bintang tiga Mercedes di tengah bonet hadapan.
Ia juga hadir dengan lampu LED baharu dan sirip-sirip di sisi bampar memberikan ciri aerodinamik.

Model ini diperkemas dengan rim AMG bersaiz 20 inci dan kaliper brek berprestasi dengan warna merah menyerlahkan lagi aura perlumbaan kereta ini.
Meninjau ke ruang ruangan kabin, AMG A35 4Matic memberi keselesaan dengan tempat duduk hadapan sport menggunakan material upholsteri kulit sintetik Artico dan gentian mikro Microcut.
Perincian lain termasuklah tali pinggang keselamatan warna merah dan elemen trim gentian karbon AMG eksklusif dalam kemasan hitam dan stereng AMG Performance.
AMG A35 AMG facelift ini menerima sistem infotainment Mercedes-Benz User Experience (MBUX) dengan gaya paparan AMG yang dipertingkat kepada versi NTG7, menerusi dua skrin berkembar infotainment dan paparan instrumental digital masing-masing bersaiz 10.25 inci.
Sistem ini menampilkan pelbagai perkhidmatan terhubung, sokongan Android Auto dan Apple CarPlay tanpa wayar serta sistem navigasi AR dan paparan kamera 360 darjah.
Ia dilengkapi dengan sistem audio surround dari Burmester berkuasa 710 watt dengan 12 pembesar suara.
Perincian standard lain yang turut diberikan pada AMG A35 facelift ini termasuk sistem pendingin hawa automatik dua zon Thermotronic, lantai kaki (karpet) AMG serta lampu ambient 64 warna.
Untuk keselamatan pula, sedan coupe berprestasi ini menerima Driving Assistant Package sebagai perincian standard yang menampilkan fungsi brek kecemasan automatik, cruise control adaptive, bantuan kekal tengah lorong, pemantau titik buta dan amaran buka pintu.
Dari segi pemanduan, lima mod pemanduan ditawarkan untuk dipilih oleh pemandu seperti Individual, Comfort, Sport, Sport + dan Advance.
Setiap mod pemanduan memberikan rasa yang berbeza mengikut cita rasa pemandu dan kesesuaian pemanduan.
Kesimpulannya, walaupun AMG A35 4Matic kereta berprestasi, tetapi ia masih sesuai dijadikan kereta harian kerana ciri-ciri sedan coupe yang dimiliki.
Sesiapa yang berjiwa pelumba dan berkemampuan mungkin boleh mempertimbangkan kereta ini yang menawarkan karakter tersendiri.














