SHAH ALAM – Ibu bapa kini dalam dilema mencari sekolah terbaik untuk anak mereka yang akan meneruskan pembelajaran ke tingkatan 1 pada sesi persekolahan bermula pertengahan bulan depan.
Selain rekod disiplin terutama membaitkan kes buli, kecemerlangan sekolah dan jarak antara kriteria utama dipertimbangkan sama ada memilih Sekolah Berasrama Penuh (SBP), Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), Sekolah Agama Menengah (SAM) atau kekal di sekolah harian.
Seorang bapa, Mohd. Nazereen Ibrahim, 42, berkata, setiap ibu bapa mahu yang terbaik untuk anak mereka mengikut kecenderungan dan keupayaan menguasai pelajaran.
Bagaimanapun katanya, pendedahan terhadap banyaknya kes buli dalam kalangan pelajar yang mendatangkan kecederaan sehingga kehilangan nyawa amat merisaukan.
“Sekolah dengan rekod disiplin yang baik menjadi pilihan. Sememangnya diharapkan setiap sekolah dapat memperkemaskan lagi peraturan dan prosedur operasi standard (SOP) bagi mengelakkan kejadian buli terus berlaku,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Kata Nazereen, setiap sekolah menawarkan pengkhususan atau keperluan berbeza bagi kumpulan pelajar tertentu yang dapat meningkatkan bakat dan potensi diri pelajar.
“Dalam situasi sekarang, saya lebih cenderung memilih sekolah aliran agama di bawah Jabatan Agama Islam Selangor terutamanya SAM Bestari atau SAMBEST berdasarkan pencapaian anak lulus dengan cemerlang (Mumtaz) di dalam Penilaian Sekolah Rendah Agama (PSRA).
“Sudah tentu, saya berharap sekolah itu dapat memberikan komitmen yang tinggi dalam pengajaran dan pembelajaran seterusnya mampu membentuk jati diri, berdaya saing berakhlak baik dan bermotivasi tinggi untuk anak,” ujarnya.
Dia juga mengakui, persaingan bermula daripada tingkatan 1 untuk memastikan hala tuju terbaik bagi mencapai keputusan cemerlang dalam SPM.
Bagi seorang penjawat awam dikenali Anita, 45, dia masih dilema memilih sekolah terbaik untuk anaknya selepas menerima tawaran MRSM dan sekolah agama negeri selain menunggu tawaran SBP.
Tambahnya, sistem pendidikan negara adalah unik dan bersifat komprehensif dengan kriteria kemasukan turut berbeza mengikut bidang tumpuan dan fungsi penubuhan sekolah itu.
“Anak dapat tawaran masuk asrama, tetapi agak jauh dan bimbang dia sukar untuk biasakan diri. Kalau ikut kemahuan anak memang ke arah SAM.
“Ada juga dapat tawaran ke sekolah agama negeri, tetapi agak bimbang sebab silibus mungkin agak berbeza dengan sekolah bawah Kementerian Pendidikan (KPM) dan MRSM.
“Jadi, masih fikir mana yang sesuai selain menunggu tawaran SBP. Semuanya saya akan selaraskan dengan minat dan kecenderungan anak seterusnya masa depannya,” katanya.
Sementara itu, Fauziah Shariff, 65, lebih memilih sekolah harian bagi cucu perempuannya yang dijaga selepas kematian menantunya sejak lapan tahun
lalu.
“Sistem pelajaran di sekolah harian pun sudah terbaik dan boleh meningkatkan berkebolehan cucunya secara holistik. Lagi pun, jarak sekolah harian itu hanya 150 meter dari rumah dan kalau jauh susah termasuk isu pengangkutan,” jelasnya.
Pandangan sama juga diutarakan pengawal keselamatan, S. Shiela, 42, yang memaklumkan mahu menghantar anak ke sekolah sama dengan anak saudaranya.
“Secara tidak langsung, ada yang boleh tengok-tengokkannya, tambahan pula respon positif daripada saudara mara berhubung prestasi sekolah harian di Klang itu,” katanya.















