fbpx
Noor Farhana menguruskan ibunya yang menghidap kanser otak di rumah mereka di Jitra baru-baru ini.

‘Selagi ada hayat, saya akan jaga ibu’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JITRA – Kehidupan seorang wanita yang sebelum ini bekerja sebagai pembantu am Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) berubah sekelip mata selepas dia disahkan menghidap kanser otak sejak dua tahun lalu.

Syarifah Sharif, 51, dari Kampung Empa di sini, juga tidak mampu lagi menguruskan diri dan selain mengharapkan bantuan anak-anaknya untuk urusan makan minum.

Anak sulung Syarifah, Noor Farhana Mohamad Azhar, 31, berkata, sebelum disahkan kanser, ibunya sering mengalami keletihan sehingga pernah terjatuh dari motosikal.

“Sejak dari itu, keadaan ibu semakin lemah dan kadang kala dia tertawa seorang diri.

“Ibu langsung tidak boleh bangun pada penghujung 2023 dan disahkan menghidap kanser otak. Kini ibu menunjukkan simptom hilang ingatan,” katanya ketika ditemui selepas menerima kunjungan Pengerusi Cancer Survivors Malaysia (CSM), Zuraini Kamal di rumahnya baru-baru ini.

Katanya, dia dan suami, Indra Mohd. Bakri, 29, yang tinggal di Sarawak membuat keputusan kembali menetap di kampung untuk menguruskan ibu.

“Saya dan suami kini bekerja di kedai makan dengan pendapatan bersama hanya kira-kira RM1,300 sebulan,” katanya.

Katanya, dengan pendapatan yang tidak seberapa itu, dia dan suami perlu berjimat kerana mereka juga perlu menyara tiga anak yang masih kecil,

“Jika saya dan suami keluar bekerja, ibu dijaga oleh ibu saudara, Zaliza Yaakob, 30, yang merupakan orang kelainan upaya (OKU) lembam,” katanya.

Farhana berkata, ketika ini dia sememangnya memerlukan bantuan kewangan untuk rawatan ibunya.

“Selagi hayat saya ada, saya akan berusaha menjaga ibu sebaik mungkin. Saya berharap dapat memiliki wang mencukupi untuk merawat ibu,” katanya.

Orang ramai yang ingin membantu boleh berbuat demikian melalui akaun Ambank atas nama Noor Farhana 8881029573832 atau menghubunginya di talian 0199591620.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN