BESUT – Hidup kira-kira 700 penduduk Kampung La, Hulu Besut yang selama ini bergantung kepada air bukit semakin sukar apabila terputus bekalan ekoran kerosakan saluran paip sejak dua minggu lalu.
Lebih malang apabila mereka perlu meminta ihsan jiran yang mempunyai alternatif kemudahan pili Syarikat Air Terengganu (Satu) bagi mendapatkan bekalan keperluan harian.
Jaafar Amid, 72, berkata, bekalan terganggu apabila saluan paip dari Bukit Yo kira-kira 10 kilometer dari kampung rosak.
“November lalu saluran itu pernah rosak akibat banjir dan dibaiki hasil kutipan RM30 setiap keluarga yang menggunakannya.
“Buat masa ini, keluarga terkesan meminta ihsan jiran-jiran untuk mengangkut air ke rumah setiap hari tetapi mandi dan mencuci pakaian dilakukan di Sungai La,” katanya ketika ditemui di Kampung La, Hulu Besut di sini semalam.
Menurut Jaafar, selain itu dia menadah air hujan dan berharap ada pihak membantu membaiki saluran paip tersebut.
Sementara itu, seorang lagi penduduk, Rogayah Mohd. Salleh, 53, berkata, dia memberi air kerana tidak sampai hati melihat jiran-jirannya terpaksa mengangkut air pada jarak jauh.
“Rumah saya memiliki kedua-dua paip air bukit dan Satu,” katanya.














