fbpx
MAG memperkenalkan pesawat pertama Airbus A330neo di hangar, Sepang Aircraft Engineering, Sepang, Selangor baru-baru ini.

K2

A330neo dilengkapi teknologi terkini dan mesra alam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KOMBINASI antara teknologi terkini, kecekapan ekonomi dan pengalaman premium merupakan tanda aras baharu dalam operasi penerbangan komersial di seluruh dunia ketika ini.

Tidak hanya itu, aspek kelestarian turut diterapkan sebagai langkah proaktif dan sumbangan syarikat penerbangan ke arah penjagaan alam sekitar.

Bagi menjayakan usaha itu, syarikat induk Malaysia Airlines, Malaysia Aviation Group (MAG) telah memperkenalkan pesawat baharu, Airbus A330neo.

Ia merupakan model pesawat badan lebar generasi baharu dengan penambahbaikan dari segi inovasi, teknologi dan kemampanan.

Menurut Pengarah Urusan Kumpulan MAG, Datuk Kapten Izham Ismail, pengenalan Airbus A330neo menandakan langkah penting dalam transformasi pesawat nasional yang menjadi tonggak kebanggaan negara.

“A330neo merupakan pesawat terbaharu yang menyertai armada MAG.

“Terdapat 20 buah pesawat akan dihantar kepada kita sehingga 2028 menerusi memorandum persefahaman yang dimeterai bersama Airbus, Rolls-Royce dan Avolon. Pesawat ini merupakan lambang inovasi dan kelestarian dalam dunia penerbangan moden.

“Ini sekali gus menandakan transformasi baharu dalam aspek pemodenan syarikat penerbangan nasional negara,” katanya ketika Majlis Pelancaran Pesawat Pertama A330neo di Bangunan

Simpanan dan Penyelenggaraan Kapal Terbang (Hangar), Sepang Aircraft Engineering, Sepang, Selangor baru-baru ini.

Ujar Kapten Izham, pesawat tersebut mempunyai pelbagai kelebihan berbanding model generasi lama terutamanya dari segi reka bentuk, kelestarian, kecanggihan teknologi, enjin berprestasi tinggi dan Air Data System (ADS).

Mengulas mengenai rekaan Airbus A330neo, Presiden Airbus Asia Pasifik, Anand Standley berkata, pesawat tersebut hadir dengan reka bentuk aerodinamik yang canggih, sekali gus menjadikan ia lebih efisien dan selesa kepada penumpang.

“Ia mempunyai sayap lebih besar dengan teknologi ‘sharklets’ yang diilhamkan daripada Airbus A350. Teknologi berkenaan mampu meningkatkan kecekapan bahan api dan mengurangkan rintangan udara.

“Pesawat ini juga mempunyai kabin lebih luas dengan ruang kaki selesa dan tingkap lebih besar. Selain itu, ia memiliki sistem diod pemancar cahaya (LED) ambien yang boleh disesuaikan untuk mengurangkan rasa jet lag,” katanya.

Dalam usaha memastikan setiap penumpang berasa lebih selesa ketika penerbangan, pihak MAG telah memilih pesawat konfigurasi dua kelas dengan 297 tempat duduk.

“Menariknya, 28 tempat duduk kelas perniagaan ini boleh dibaringkan sepenuhnya, manakala 269 tempat duduk kelas ekonomi direka untuk keselesaan maksimum,” ujarnya.

PESAWAT Airbus A330neo menggunakan sistem kokpit digital, Fly-by-Wire yang memberikan kawalan penerbangan lebih tepat.

Bagi rekaan kerusi dan suite dalam pesawat, MAG menampilkan elemen songket yang juga merupakan fabrik tradisi negara.

Ia juga adalah salah satu lambang elemen Malaysia di dalam pesawat berkenaan.

Pesawat dengan panjang 63.66 meter (m), rentang sayap 64m dan berketinggian 16.79m itu mempunyai kecekapan bahan api yang tinggi.

Model pesawat tersebut mampu menggunakan bahan api sehingga 14 peratus lebih cekap berbanding generasi sebelumnya iaitu Airbus A330ceo.

Kecekapan penggunaan bahan api membolehkan pesawat tersebut menempuhi jarak penerbangan sehingga 13,334 kilometer (km) (7,200 batu nautika) yang bergerak dengan kelajuan maksimum 0.82 Mach (871 km/jam).

Ujar Standley, Airbus A330neo juga mencerminkan komitmen industri penerbangan terhadap kelestarian alam sekitar serta menyokong matlamat hijau penerbangan global.

Selain itu, pesawat dengan berat maksimum berlepas 251 tan metrik itu boleh beroperasi menggunakan Bahan Api Lestari (SAF) bagi mengurangkan jejak karbon secara signifikan.

“Airbus A330neo juga lebih senyap berbanding pesawat generasi terdahulu.

“Ia mempunyai tahap kebisingan yang lebih rendah sehingga 50 peratus berbanding generasi sebelumnya dan mematuhi piawaian kebisingan antarabangsa,” jelasnya.

Airbus A330neo juga dilengkapi teknologi terkini dalam avionik yang memberikan kelebihan dalam operasi dan keselamatan.

Ia melibatkan teknologi pada sistem kokpit digital, hiburan dan sambungan serta pemantauan berasaskan data.

Bagi sistem kokpit digital, pesawat berkenaan menggunakan teknologi Fly-by-Wire yang memberikan kawalan penerbangan lebih tepat dan efisien.

Elemen lain yang ditambah baik adalah hiburan dalam penerbangan.

Pesawat berkenaan menggunakan peranti terkini dengan skrin resolusi tinggi serta sambungan Wi-Fi berkelajuan tinggi bagi memenuhi keperluan penumpang moden.

Sementara itu, pesawat Airbus A330neo mengaplikasi sistem penyelenggaraan berasaskan keadaan (Condition-Based Maintenance) yang mampu mengurangkan kos operasi dan mencegah kerosakan.

Berkongsi tentang kemampuan dan kecekapan enjin Rolls-Royce Trent 7000 yang digunakan Airbus A330neo, Timbalan Presiden Kanan Asia Pasifik, Rolls-Royce, John Kelly memaklumkan, pesawat tersebut dikuasakan oleh enjin generasi baharu dengan teknologi canggih.

“Enjin Rolls-Royce Trent 7000 menggunakan teknologi aerodinamik moden dengan nisbah kipas tinggi (10:1) untuk daya dorong maksimum dan kecekapan bahan api.

“Enjin ini berupaya mengurangkan pelepasan karbon dan direka untuk menggunakan bahan api SAF.

“Ia juga mempunyai tahap kebisingan yang rendah, sekali gus menjadikannya cukup ideal untuk beroperasi di kawasan bandar,” kongsinya.

Jelas Kelly lagi, enjin tersebut mempunyai julat daya dorong antara 68,000 hingga 72,000 paun yang sesuai untuk pesawat jarak sederhana dan jauh seperti Airbus A330neo.

Selain rekaan dan enjin yang menyumbang kepada kelestarian, pesawat tersebut juga dilengkapi teknologi sistem Air Data System (ADS) yang mampu memberikan ketepatan data maksimum.

ADS adalah sistem kritikal yang menyediakan maklumat penting kepada sistem avionik dan juruterbang.

Kongsi Kapten Izham, sistem ADS dalam Airbus A330neo berupaya mengumpul data udara dengan mengukur kecepatan udara, ketinggian, sudut serang (AoA), suhu udara, dan kecepatan menegak.

“Komponen utama pada sistem ini adalah Pitot Tubes untuk tekanan dinamik dan statik serta Air Data Computers (ADC) bagi pemprosesan data udara.

“Kelebihan utamanya adalah ketepatan dalam menentukan parameter penerbangan, menyokong navigasi dan keselamatan.

“Selain itu, ia mempunyai redundansi tinggi untuk memastikan prestasi kekal, walaupun dalam keadaan satu saluran data gagal,” hurainya.

Ulasnya lagi, sistem itu boleh diintegrasi dengan sistem lain yang berfungsi bersama seperti auto pilot, radar cuaca dan Traffic Collision Avoidance System (TCAS) untuk meningkatkan kecekapan serta keselamatan ketika penerbangan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN