ARSENAL boleh melupakan gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL) musim 2024/25 jika masih ‘berdegil’ tidak mahu menandatangani penyerang dalam jendela perpindahan Januari ini.
Berbaki kurang dua minggu lagi sebelum tarikh tutup perpindahan pada 1 Februari ini, pengurus Arsenal, Mikel Arteta perlu mencari jalan untuk meyakinkan pihak pengurusan agar membeli sekurang-kurangnya seorang penyerang yang terbukti boleh meledak jaringan.
Kehadiran seorang penyerang baharu sebenarnya dilihat tidak mampu menyelesaikan masalah Arsenal yang kini kehilangan tujuh pemain disebabkan kecederaan.
Tujuh pemain itu ialah Gabriel Jesus, Bukayo Saka, Ben White, Takehiro Tomiyasu, Ethan Nwaneri, Riccardo Calafiori dan terbaharu William Saliba.
Hanya empat pasukan hilang lebih ramai pemain daripada Arsenal kerana masalah kecederaan iaitu Tottenham Hotspur, Bournemouth, Chelsea dan Brighton.
Ketiadaan penyerang dan kecederaan juga mencari salah satu faktor Arsenal sekali lagi tercicir mata apabila mensia-siakan kelebihan dua gol apabila seri 2-2 dengan Aston Villa pada Sabtu lalu.
Kai Havertz juga bukan penyerang yang boleh menghadiahkan kejuaraan buat Arsenal berdasarkan statistik yang menunjukkan bintang Jerman itu gagal mengambil kesempatan terhadap deretan peluang dimiliki.
Justeru, Arteta perlu segera menyambar penyerang No. 9 yang sebenar seperti beberapa nama hangat dikaitkan ketika ini seperti Viktor Gyokeres (Sporting Lisbon), Benjamin Sesko (RB Leipzig), Alexander Isak (Newcastle United), Dusan Vlahovic (Juventus) ataupun Matheus Cunha (Wolverhampton Wanderers).
Kebiasaannya, ia tidak mudah untuk mana-mana pasukan cuba membeli penyerang berkualiti dalam jendela perpindahan Januari disebabkan banyak faktor berbanding musim panas sekitar Julai nanti.
Sporting tidak mahu melepaskan Gyokeres yang sudah menjaringkan 22 gol liga musim ini selain situasi jaguh Portugal itu berada di tangga teratas Liga Primeira ketika ini.
Begitu juga Isak memandangkan Newcastle sedang berada di landasan tepat untuk melayakkan diri ke Liga Juara-Juara Eropah musim depan.
Situasi Sesko berbeza kerana Leipzig hanya akan melepaskannya jika dapat mencari penggantinya, namun dijangka sukar selepas penyerang AC Milan, Noah Okafor gagal ujian perubatan baru-baru ini.
Kini tinggal Cunha dan Vlahovic yang berpotensi dibeli Arsenal dalam tempoh kurang dua minggu sahaja lagi.
Vlahovic dilihat lebih ideal buat The Gunners berdasarkan rekodnya bersama Juventus selain situasinya mahu segera meninggalkan Itali selepas bergaduh dengan penyokong-penyokong kelab itu.
Inilah risiko yang perlu diambil Arteta sama ada Vlahovic mampu segera menyesuaikan diri dengan intensiti tinggi EPL berbanding Cunha yang sudah meledak 10 gol buat Wolves musim ini.
Jika tiada penyerang dibeli dalam bulan ini, bermakna penyokong Arsenal sudah boleh melupakan impian melihat kelab itu menamatkan penantian 21 tahun menjuarai EPL sejak 2004.














